SEORANG ahli perniagaan di India yang baru pulih dari jangkitan Covid-19 bertindak menukar pejabatnya menjadi pusat kemudahan yang menyediakan 85 katil untuk memberi rawatan percuma Covid-19 kepada golongan miskin.
Pandemik koronavirus masih berleluasa di negara kedua yang terjejas teruk itu dengan jumlah penduduk paling ramai di dunia menjadikan jumlah jangkitan melepasi 1.5 juta semalam dan mencatatkan hampir 35,000 kematian.
Kadar Shaikh sebelum ini menghabiskan 20 hari di sebuah klinik swasta bulan lalu dan berasa terkesan dengan kos yang perlu ditanggung untuk merawat jangkitan Covid-19.
“Kos rawatan di hospital swasta sangat tinggi. Bagaimana orang miskin boleh mendapatkan rawatan seperti itu?
“Jadi saya putuskan untuk melakukan sesuatu dan menyumbang dalam memerangi virus yang menyebabkan banyak kematian itu,” kata pemaju hartanah kepada AFP.
Selepas kembali pulih Shaikh mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan untuk menukar premis pejabatnya seluas 2,800 meter persegi.
Kerajaan menyediakan dan membayar kakitangan, peralatan perubatan dan ubat-ubatan sementara Shaikh menanggung kos tempat tidur dan elekrtik.
“Sesiapa sahaja boleh masuk ke sini tanpa mengira kasta, akidah atau agama,” katanya. – AFP, 30 Julai, 2020.
Komen