AirAsia kurangkan penerbangan Kuching-KL 


Desmond Davidson

AirAsia mengurangkan penerbangan Kuching-Kuala Lumpur-Kuching daripada 56 kepada 14 penerbangan seminggu.– Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Julai, 2020.

AIRASIA terpaksa mengurangkan penerbangan Kuching-Kuala Lumpur-Kuching daripada 56 kepada 14 penerbangan seminggu sebagai mematuhi arahan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak untuk mengurangkan penerbangan selepas negeri itu menguatkuasakan sekatan perjalanan susulan peningkatan kes Covid-19.

Bagaimanapun penerbangan Malaysian Airlines (MAS) dan Malindo tujuh kali seminggu tidak berubah.

Jawatankuasa terbabit memutuskan untuk mengurangkan kekerapan penerbangan masuk dan keluar negeri itu kepada semua syarikat penerbangan, termasuk penerbangan dalam Sarawak, berikutan kebimbangan penularan koronavirus.

Kini semua penumpang termasuk penduduk Sarawak dari semenanjung, Labuan, Sabah dan luar negara diwajibkan menjalani kuarantin dan ujian saringan Covid-19.

Tempoh minimum kuarantin adalah tiga hari kerana ujian RT-PCR dibuat pada hari kedua selepas ketibaan mereka. Sekiranya mereka didapati negatif, mereka akan dilepaskan.

Semalam, Timbalan Ketua Menteri Douglas Uggah berkata secara purata terdapat 1,800 ketibaan melalui pesawat sebelum pengurangan penerbangan.

Uggah yang juga pengerusi jawatankuasa pengurusan bencana itu berkata, terdapat kebimbangan peningkatan Covid-19 di negeri itu berpunca daripada mereka yang tidak bergejala.

Sejak pertengahan bulan ini, negeri berkenaan mengesan 99 jangkitan baharu, hampir kesemuanya di Kuching, Samarahan dan Serian.

Daerah terbabit kini diwartakan sebagai zon merah.

Menteri pengangkutan negeri Lee Kim Shin dalam satu kenyatan hari ini berkata kekerapan penerbangan AirAsia dari Bintulu ke Kuala Lumpur juga dikurangkan daripada 14 kali seminggu kepada tujuh kali, manakala laluan Miri-Kuala Lumpur juga dikurangkan daripada 21 penerbangan kepada tujuh oenerbangan seminggu. – 29 Julai, 2020.

Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen