Hong Kong perketat kawalan pergerakan bendung Covid-19


Penduduk Hong Kong beratur untuk menjalani ujian saringan Covid-19 percuma di sebuah klinik kerajaan di Sham Shui Po, Kowloon. – Gambar AFP, 29 Julai, 2020.

HONG KONG diambang penularan wabak Covid-19 “berskala besar”, ketika pihak berkuasa melaksanakan langkah kawalan pergerakan lebih ketat, kata pemimpin wilayah itu hari ini.

Penularan dibimbangi akan menyebabkan hospital tidak mampu menampung jumlah pesakit yang ramai.

Mulai hari ini 7.5 juta penduduk di Hong Kong diwajibkan memakai pelitup muka apabila berada di tempat awam, manakala restoran hanya menjual makanan untuk dibawa pulang.

Selain itu, perkumpulan melebihi dua orang dari isi rumah berbeza di tempat awam dilarang, dengan denda HK$5,000 akan dikenakan jika melanggar peraturan kecemasan baharu ini.

Sekatan pergerakan ini sebagai usaha menangani lonjakan kes Covid-19 di wilayah itu.

Lebih 1,000 kes disahkan pada awal bulan ini, iaitu lebih 40% daripada jumlah jangkitan sejak virus itu menular di Hong Kong awal Januari.

Hong Kong melaporkan kes harian melebihi 100 sepanjang enam hari lalu.

“Kita diambang penularan berskala besar, mampu melumpuhkan keupayaan sistem hospital dan mengorbankan nyawa terutama warga emas” kata Ketua Eksekutif Hong Kong Carrie Lam dalam satu kenyataan hari ini.

“Demi melindungi orang tersayang, petugas kesihatan kita, Hong Kong dan saya merayu anda supaya mematuhi langkah kawalan terutama amalan penjarakan sosial dan jangan keluar rumah jika tidak perlu.” – AFP, 29 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen