PENGERUSI Pakatan Harapan (PH), Dr Mahathir Mohamad mengeluh kerana disuruh menjadi perdana menteri sekali lagi sedangkan beliau kini sepatutnya berehat selepas berkhidmat di jawatan tersebut selama 22 tahun.
Menurut Dr Mahathir, 92, beliau tidak sempat menikmati rehat sama sekali selepas meletak jawatan kerana pentadbiran negara “dikacau” oleh penggantinya, Abdullah Badawi dan kini Najib Razak.
“Saya tidak sempat hendak rehat langsung. Sepatutnya saya berehat, pergi naik kapal persiaran lepas pencen.
“Mula-mula Pak Lah (Abdullah Badawi) buat kacau. Lepas itu Najib (Razak) buat kacau,” katanya ketika bercakap kepada pemberita selepas menyertai satu forum di Kuala Lumpur pada malam tadi.
Abdullah menang besar dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 2003 selepas mengambil alih pentadbiran daripada Dr Mahathir. Prestasinya bagaimana pun merosot selepas itu sehingga Barisan Nasional (BN) kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen dan tewas di lima negeri.
Para pemerhati beranggapan, kritikan yang dilancarkan Mahathir ke atas kelemahan pentadbiran Abdullah dalam tempoh itu sedikit sebanyak menyumbang kepada kemerosotan prestasi BN.
Dr Mahathir juga kini konsisten dalam kritikannya ke atas Najib, terutama dalam isu melibatkan pengurusan dana pelaburan 1Malaysia Development Berhad.
Pengerusi Bersatu itu dengan sinis menyebut, gabungan parti PH seronok dengan peranannya sehingga menyuruh beliau menjadi perdana menteri.
“Ini PH, mula-mula suruh saya jadi pengerusi, sekarang ni suruh jadi perdana menteri, seronoklah,” kata Dr Mahathir penuh sindiran selepas menyertai forum “Anak Muda Cari Jho Low” di Kuala Lumpur malam tadi.
Dr Mahathir mengulas cadangan agar beliau dinamakan sebagai bakal perdana menteri sementara sekiranya PH menang dalam PRU14 nanti.
Cadangan itu disuarakan dalam pemukiman PH di Putrahjaya pada hujung minggu lalu.
Menurut sumber, Bersatu, DAP dan Amanah telah bersetuju agar Dr Mahathir dinamakan sebagai bakal perdana menteri namun ketika pemukiman itu PKR masih belum boleh membuat keputusan.
Kenyataan rasmi PKR menyebut, cadangan tersebut belum diangkat secara rasmi oleh Majlis Presiden PH. – 7 Disember, 2017.
Komen