Kos rawatan pesakit tenat Covid-19 RM870 sehari, kata KKM


Anggaran kos perawatan bagi pesakit Covid-19 tahap 4 dan 5 selama 21 hari menjadikan anggaran jumlah kos rawatan sebanyak RM18,270 bagi setiap pesakit, kata KKM. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Julai, 2020.

RAWATAN bagi pesakit Covid-19 yang tenat menelan kos sekitar RM870 sehari, kata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Anggaran tersebut adalah kos median bagi pesakit Covid-19 tahap 4 dan 5, yang memerlukan bantuan pernafasan.

“Anggaran kos perawatan selama 21 hari menjadikan anggaran jumlah kos rawatan sebanyak RM18,270 bagi setiap pesakit,” kata kementerian itu dalam jawapan bertulis kepada soalan Azman Ismail (Kuala Kedah-PH) mengenai protokol rawatan dan kos bagi seorang pesakit Covid-19 yang tenat.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini berkata kebanyakan pesakit yang dirawat di hospital ketika ini adalah pesakit tahap 3, yang mula mengalami gejala radang paru-paru.

Bagi tahap 1, pesakit disahkan positif tetapi tidak menunjukkan gejala, manakala pesakit tahap tahap 2 pula menunjukkan gejala ringan.

Dalam jawapan bertulis lain, KKM berkata sebanyak RM1 bilion diperuntukkan untuk menangani penularan wabak Covid-19 di negara ini.

Peruntukan khas dari Kementerian Kewangan ini disalurkan secara bertahap, kata KKM bagi menjawab soalan Khoo Poay Tiong (Kota Melaka-PH) mengenai jumlah perbelanjaan ke atas peralatan perlindungan diri (PPE).

Setakat 10 Julai, KKM berkata RM650 juta dibelanjakan untuk PPE termasuk ubat-ubatan bagi membendung Covid-19.  – 29 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen