VIETNAM mengesan lapan lagi kes baharu jangkitan Covid-19 di Da Nang hari ini, lapor VN Express, ketika pihak berkuasa mula mengambil langkah berjaga-jaga susulan gelombang kedua penularan wabak sejak hujung minggu lalu.
Kes terbaharu ini dikesan sehari selepas pihak berkuasa mengenakan sekatan perjalanan di Da Nang, bandar ketiga terbesar yang menjadi antara tumpuan pelancong semalam.
Dalam pada itu, media juga melaporkan satu kes dikesan di Hanoi yang dipercayai mempunyai kaitan dengan jangkitan di Da Nang.
Ini menjadikan keseluruhan 30 kes positif Covid-19 disahkan di Vietnam sejak jangkitan dikesan semula pada Sabtu lalu, yang pertama dalam masa lebih tiga bulan.
Semalam Vietnam menggantung semua jenis pengangkutan masuk dan keluar dari Da Nang selama 15 hari.
Lebih kurang 18,000 pelancong di Da Nang juga dilaporkan kembali ke Ho Chi Minh City semalam.
Jangkitan semula ini berlaku ketika Vietnam melonggarkan sekatan sempadan dan membuka semula kegiatan ekonomi selepas penularan wabak reda pada hujung April.
Media melaporkan pelancong mula membatalkan tempahan selepas pihak berkuasa mengesahkan jangkitan semula Covid-19.
Pada masa sama, Perdana Menteri Nguyen Xuan Phuc mengarahkan pihak imigresen mempertekatkan semula kawalan di sempadan.
Setakat ini, Vietnam mempunyai keseluruhan 446 kes positif Covid-19 tanpa kematian. – 29 Julai, 2020.
Komen