KOREA Selatan mungkin akan melanjutkan permit pekerja asing dalam usaha mengatasi kekurangan buruh di sektor perladangan dan lain-lain, berikutan wabak Covid-19, kata Perdana Menteri Chung Sye-kyun pada Rabu, lapor Agensi Berita Yonhap.
“(Kerajaan) akan cuba perkenal langkah-langkah untuk melanjutkan kebenaran tinggal kepada buruh asing dan membenarkan mereka bekerja sementara di kawasan pertanian dan sebagainya,” katanya.
Chung berkata kekurangan tenaga kerja yang dilaporkan di kawasan pertanian kampung menjadi antara sebab langkah itu dirancang.
“Disebabkan Covid-19, kawasan pertanian berdepan masalah kekurangan tenaga kerja yang serius menjelang musim menuai akan datang,” katanya.
Menteri itu berkata ramai pekerja asing tidak dapat pulang ke negara asal sekarang, walaupun tempoh permit sudah tamat, disebabkan sekatan pergerakan dan penerbangan dibatalkan. Jika, permit dilanjutkan mereka boleh mendapatkan pekerjaan bermusim atau bekerja di ladang pertanian, kata Chung.
Korea Selatan juga merancang untuk meningkatkan langkah-langkah kuarantin terhadap kelasi dari Rusia dan negara lain yang berada dalam senarai perlu menjalani kuarantin lebih ketat, kata perdana menteri.
Sejajar dengan langkah-langkah baharu itu, kelasi dari Rusia dan negara yang tersenarai diminta mengemukakan sijil kesihatan yang membuktikan mereka negatif Covid-19 untuk ujian reaksi berantai polimerase (PCR) ketika masuk ke Korea Selatan, katanya.
Korea Selatan setakat ini melaporkan hampir 90 kes import yang mempunyai kaitan dengan kluster kapal Rusia yang berlabuh di negara itu sejak Jun.
Korea Selatan menyenaraikan enam negara - Bangladesh, Pakistan, Kazakhstan, Kyrgyzstan, Filipina dan Uzbekistan - dalam senarai negara berisiko tinggi.
Minggu ini juga kerajaan bercadang untuk membawa balik kira-kira 70 pekerja Korea dari Iraq. – Bernama, 29 Julai, 2020.
Komen