Lebih 80,000 perniagaan baharu didaftarkan dalam tempoh PKP


Ragananthini Vethasalam Chan Kok Leong

SEBANYAK 82,555 perniagaan baharu didaftarkan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) antara 1 April dan 19 Julai, jauh melebihi jumlah perniagaan yang terpaksa ditutup, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Rosol Wahid.

Hanya 4,542 perniagaan memberikan notis penutupan mereka dalam tempoh yang sama ketika negara ini berada dalam pelbagai tahap perintah pengurungan bermula dengan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang lebih ketat sebelum mengurangkan sekatan di bawah PKP Bersyarat dan kemudian PKP Pemulihan.

Rosol bercakap pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat sebagai maklum balas terhadap Tan Kok Wai (Cheras-PH) yang meminta statistik mengenai jumlah perniagaan yang ditutup antara April dan Julai serta jumlah perniagaan baharu yang sudah didaftarkan.

“Adalah normal bagi mereka yang hilang pekerjaan atau diberhentikan kerja dalam kemerosotan ekonomi untuk mendaftarkan perniagaan baharu.

“Mereka perlu mencari jalan untuk meneruskan kehidupan. Adalah salah untuk mengatakan rakyat Malaysia malas jika mereka dikekang, mereka akan mencari jalan,” kata timbalan menteri berkenaan.

Beliau menambah bahawa sebahagian besar perniagaan yang didaftarkan dalam tempoh tersebut adalah perniagaan e-dagang kerana PKP masih ada dan banyak kedai runcit tidak dibenarkan beroperasi.

Timbalan menteri ini berkata demikian sebagai maklum balas kepada pertanyaan Ahmad Maslan (Pontian-BN) mengenai apakah syarikat-syarikat ini beroperasi di platform dalam talian. – 29 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen