MASALAH yang timbul kesan pembinaan Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (Suke) masih belum selesai walaupun sudah tiga tahun diadu, kata penduduk Taman Saga di Cheras.
Mereka memberitahu The Malaysian Insight masalah banjir lumpur dan tanah runtuh kerap berlaku menyebabkan kerosakan pada harta benda sejak pembinaan lebuh raya bermula tiga tahun lepas.
Penduduk ini bimbang dengan keselamatan diri dan terganggu dengan bunyi bising setiap hari sehingga malam akibat dari kerja pembinaan tersebut.
Seorang wakil penduduk Khairy Yahya, 57, mendakwa ia berpunca dari kelalaian kontraktor dalam menitikberatkan prosedur standard operasi (SOP) bagi pembinaan lebuh raya di cerun bukit itu
“Kita nak tahu apa SOP yang dah diambil oleh pihak kontraktor lebuh raya ini. Mereka sudah tahu kawasan ini memang senang berlaku runtuhan tanah dan banjir. Apakah SOP yang mereka ambil untuk menangani isu ini.
“Sebab tempat pembinaan ini semua tertutup jadi penduduk tidak tahu macam mana mereka (kontraktor) bekerja,” katanya ketika ditemui di rumahnya.
Ujarnya masalah itu sudah beberapa kali diadu termasuk menerusi jawatankuasa pemantau lebuh raya Suke yang dianggotai wakil penduduk, pihak berkuasa tempatan dan kontraktor terlibat.
Bagaimanapun tiada tindakan diambil, katanya kesal.
“Kami minta kalau boleh pihak berwajib seperti Jabatan Kerja Raya, Lembaga Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) datang tengok masalah yang berlaku.
“Setakat ini memang ada wakil rakyat yang turun malah yang dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya kata nak berbincang dengan bahagian teknikal MPAJ untuk selesaikan isu ini.
“Tapi mereka bincang sesama mereka, yang kita ini tidak tahu apa berlaku,” katanya yang juga merupakan anggota jawatankuasa pemantau lebuh raya Suke.

Khairy yang tinggal di kawasan itu sejak 30 tahun lalu juga bimbang penduduk Taman Saga akan mengalami nasib sama seperti di Bukit Antarabangsa yang sering mengalami tanah runtuh.
“Kita tak mahu jadi macam di Bukit Antarabangsa, kalau tengok sebenarnya struktur cerun di sini sama macam Bukit Antarabangsa yang senang runtuh,” katanya.
Lebuh raya SUKE yang dibina oleh Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) membabitkan laluan sepanjang 24.4 km bermula dari Sri Petaling dan berakhir di Hulu Kelang.
Projek yang diluluskan pada 2016 itu mencetuskan bantahan oleh pertubuhan bukan kerajaan dan persatuan penduduk kerana memusnahkan hutan simpan di Selangor.
Jajaran Suke meliputi kawasan Hutan Simpan Kekal Bukit Sungai Puteh Utara/Selatan yang merupakan sebahagian tempat tadahan hujan.
Ia menjadi sumber empangan utama untuk tujuan penyaluran air ke kawasan kritikal meliputi seluruh Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor.
Pembinaan lebuh raya itu yang sepatutnya tamat pada 2020 dihentikan sementara pada awal Januari 2018 susulan insiden runtuhan bongkah batu dari kawasan bukit berhampiran Bukit Saga.
Ia menimbulkan kebimbangan penduduk seperti Malik Abdul Halim, 56, yang juga risau kerana banjir lumpur sering terjadi.
Rumahnya juga sering dinaiki air setiap kali hujan lebat, kata pesara guru itu yang mendakwa ia berpunca daripada kegagalan pihak kontraktor memperbaiki sistem perparitan.
“Kes pertama (masuk air) berlaku sebab pemaju tak buat longkang di belakang. Bila hujan air di bukit turun lepas itu habis kena garaj parkir musnah dan pemaju ganti balik.
“Jadi selepas itu setiap kali hujan pasti air akan masuk rumah. Sebab itu saya kata macam ada yang tak betul dengan projek ini.
“Sepatutnya bila kita nak buat satu projek maknanya sistem perparitan mesti buat dulu tapi ini tak ada langsung nak baik pulih,” katanya sambil menunjukkan garajnya yang musnah akibat banjir.

Seorang lagi wakil penduduk Abd Hamid Ayob berkata penduduk Taman Saga 5 paling terkesan kerana rumah mereka setentang dengan kawasan pembinaan lebuh raya tersebut.
Abd Halim tidak mahu pihak berwajib lepas tangan dan segera mengambil tindakan menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk.
“Masa pemulaan kita banyak juga buat aduan tapi mereka kata akan selesaikan masalah. Tapi bila keadaan dah jadi macam ini dah hampir 60 peratus.
“Jadi apa tindakan yang diambil mereka bila jadi banjir lumpur. Mereka cuma datang bersih dan walaupun kita pemantau, kita tekankan isu ini tapi di mana hak kita.
“Kita cuma nak pastikan keselamatan,” katanya ketika ditemui di rumahnya yang terletak hanya 15 meter daripada tapak pembinaan.
Abd Halim turut meluahkan kebimbangan berlaku jangkitan kes malaria dalam kalangan rakyat tempat yang dibawa oleh pekerja warga asing di tapak binaan.
Selain itu, sistem perparitan yang tidak dibaiki itu menyebabkan takungan air dan meningkatkan jangkitan penyakit bawaan nyamuk, katanya.
“Sudahlah Taman Saga terkenal dengan kes denggi, kini malaria, dan penduduk juga bimbang dengan Covid-19,” katanya.
Peningkatan kes malaria dalam kalangan pekerja tapak binaan diakui oleh Prolintas dalam kenyataannya pada 27 Jun.
Kementerian Kesihatan sebelum ini merekodkan peningkatan sebanyak 14 kes malaria termasuk satu kes membabitkan seorang warga Bangladesh.
Pekerja itu bertugas di tapak pembinaan Jajaran CB1, projek Lebuhraya Bertingkat Suke di Ampang. – 31 Julai, 2020.
Komen