Kerajaan hormati keputusan mahkamah dalam kes Najib, kata PM 


Ragananthini Vethasalam

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menggesa semua pihak untuk terus meletakkan kepercayaan kepada sistem perundangan dan kehakiman negara.– Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Julai, 2020.

PERDANA Menteri Muhyiddin Yassin menggesa semua pihak untuk terus meletakkan kepercayaan kepada sistem perundangan, dan berkata kerajaan menghormati keputusan mahkamah dalam kes SRC International.

“Kerajaan menghormati keputusan mahkamah dan menggesa semua pihak terus meletakkan kepercayaan kepada sistem perundangan serta kehakiman negara sebagai institusi yang bebas dan berkecuali,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

“Saya memahami perasaan dan sentimen rakan-rakan terhadap keputusan yang telah dibuat oleh mahkamah.”

Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan Perikatan Nasional akan sentiasa menegakkan prinsip kedaulatan undang-undang.

Kerajaan turut menghormati hak Najib untuk merayu atas hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah, kata Muhyiddin.

“Sama-samalah kita beri ruang kepada proses undang-undang untuk memastikan undang-undang dapat ditegakkan,” katanya.

Najib yang juga bekas perdana menteri hari ini dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas didapati bersalah atas dakwaan salah guna kuasa dalam menerima dana RM42 juta daripada SRC International pada 2014 dan 2015.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhkan hukuman itu selepas mepertimbangkan pengurangan selama tiga jam. Hakim turut mengekalkan hukuman penjara dan denda, sementara menunggu rayuan oleh pihak peguam bela di Mahkamah Rayuan.

Hakim turut menetapkan tambahan ikat jamin RM1 juta dengan dua penjamin yang peru dibayar esok. Beliau turut mengarahkan Najib lapor diri di balai polis terdekat setiap 1 dan 15hb setiap bulan.

Bekas menteri kewangan itu didapati bersalah atas tujuh tuduhan – tiga tuduhan pecah amanah, tiga tuduhan pengubahan wang haram dan satu tuduhan salah guna kuasa. – 28 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen