DUA kluster baharu Covid-19 terdiri daripada lima rakyat Malaysia dan empat warga asing dilaporkan hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Kluster pertama, dipanggil PUI Sivagangga dikesan di Kedah yang mana seorang warga Malaysia dan empat warga asing dikesan positif daripada 28 orang yang menjalani ujian saringan.
Kes indeks adalah warga asing yang merupakan pemastautin tetap di Malaysia yang diuji negatif di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur selepas tiba dari India pada 13 Julai.
Individu terbabit menjalani Pelaksanaan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) namun gagal mematuhinya dan ditahan pihak berkuasa sebelum disahkan positif Covid-19 selepas menjalani satu lagi ujian saringan. Individu terbabit kini menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah di Kedah.
Kes indeks ini juga memiliki premis makanan dan empat warga ading yang disahkan positif bekerja di premis berkenaan. Rakyat Malaysia yang disahkan positif merupakan ahli keluarga kes indeks, kata Dr Noor Hisham dalam satu kenyataan hari ini.
Empat warga asing berkongsi kediaman yang sama dengan kes indeks.
“Premis makanan terlibat telah ditutup untuk proses pembersihan dan disinfeksi,” kata Dr Noor Hisham.
Kluster kedua dikesan di pasar basah Satok, Sarawak yang mana 229 peniaga menjalani ujian saringan setakat ini.
Daripada jumlah itu, empat warga tempatan disahkan positif Covid-19 manakala selebihnya negatif.
Dr Noor Hisham berkata pesakit kluster Satok tidak bergejala dan dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak.
Kerja pembersihan dan disinfeksi pasar Satok juga sedang dijalankan.
Sarawak menyaksikan peningkatan jumlah kes dengan 21 kes tempatan dan 4 kes import hari ini.
39 kes baharu Covid-19 direkodkan hari ini yang mana ia merupakan tertinggi sejak 15 Jun, yang mencatatkan 41 jangkitan baharu.– 28 Julai, 2020.
Komen