JUMLAH pengunjung di pasar basah dilihat berkurangan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila mereka lebih memilih untuk pergi ke pasaraya berhawa dingin yang lebih bersih atau kemudahan membeli barangan rundit di dalam talian.
Pasar basah menerima kesan teruk di kemuncak wabak Covid-19 di Malaysia apabila sebilangan kecil peniaga di situ antara kluster yang dijangkiti virus berkenaan.
Ini termasuk pasar borong Selayang di Kuala Lumpur dan pasar Jalan Othman serta Taman Megah di Petaling Jaya. Pasar basah Stutong di Sarawak merupakan kluster terbaru.
Penutupan beberapa pasar ini selama lebih 100 hari semasa PKP mengubah corak pengguna dan peniaga berasa ragu untuk mendapatkan kembali pelanggan mereka.
Di pasar Pudu yang dianggap sebagai pasar basah terbesar dan paling bersejarah di Kuala Lumpur, Presiden Persatuan Penjaja dan Pedagang Pudu Cheras Tiong Hua Ang Boon berkata lebih 700 gerai berdepan penurunan hasil perniagaan sebanyak 50%.
“Perniagaan sudah berdepan kesukaran sebelum wabak tetapi sekarang menjadi lebih sukar.
“Walaupun pasar sudah dibuka kembali, orang tidak datang untuk berbelanja. Mereka akan pergi ke pasar raya besar,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Pihak berkuasa perlu memikirkan semula cara pasar basah beroperasi atau bentuk penjualan produk segar ini mungkin hilang, katanya.
“Kerajaan perlu meningkatkan infrastruktur dan memiliki perancang bandar yang lebih baik agar barang yang sama dijual di pasar basah tidak dijual di kedai-kedai berhampiran. Pasar raya tidak boleh berada di kawasan yang sama dengan pasar basah agar rezeki peniaga kecil ini akan terpelihara.
“Terdapat beberapa ratus pemilik gerai di pasar masing-masing berusaha mencari pendapatan tetapi berdepan persaingan pasar raya besar berdekatan. Bagaimana mereka nak cari duit untuk hidup?”
Seorang penjaja buah di pasar Pudu yang ingin dikenali sebagai Kow berkata hasil penjualannya semakin berkurangan dari sebelum PKP.
Sebilangan peniaga di pasar tidak peduli untuk membuka kedai mereka kerana jumlah pelanggan yang kurang, katanya.
Sebelum PKP dia dapat menjual buah-buahan antara RM1,000 hingga RM2,000 sehari. Kini dia hanya berjaya menjual RM300 sehari.
“Saya rasa pelanggan sudah biasa berbelanja di pasar raya berhampiran rumah mereka walaupun pasar Pudu sudah dibuka semula, mereka tidak akan datang.
“Orang juga lebih suka memesan barangan keperluan di dalam talian. Ini juga memberi kesan kepada kami penjaja dan peniaga.
“Orang seperti kami tidak dapat buat perubahan (menjual produk segar secara dalam talian). Kami tidak mempunyai cara lain untuk mencari nafkah,” katanya.
Situasi suram ini juga berlaku di pasar malam yang kini dibenarkan untuk kembali beroperasi pada 15 Jun lalu.
Dengan jumlah gerai yang terhad, jarak fizikal dan aliran lalu lintas sehala untuk pelanggan, jumlah pelanggan dilihat semakin berkurangan dan hasil pengeluaran juga lebih rendah, kata peniaga. – 30 Julai, 2020.
Berita penuh di sini.
Komen