Selangor kemas kini SOP susulan peningkatan kes Covid-19


Menteri Besar Amirudin Shari akan mengadakan pertemuan dengan pasukan petugas pencegahan Covid-19 negeri dalam masa terdekat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Julai, 2020.

SELANGOR akan mengemas kini pelaksanaan  prosedur operasi standard (SOP) bagi membendung penularan wabak Covid-19, susulan peningkatan kes itu di negeri ini.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan pasukan petugas pencegahan Covid-19 negeri dalam masa terdekat bagi mengemas kini pelan perancangan terkini dan jangka panjang, berhubung perkara itu.

“Saya akan jumpa pasukan petugas dan pihak Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) untuk lihat pelan perancangan terkini dan masa depan.

Ini adalah matlamat jangka panjang kita sehinggalah kepada ‘penamat’ iaitu ketika vaksin Covid-19 ditemui, jadi kita kena bersedia,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Publisiti dan Penyertaan Awam bagi Draf Rancangan Tempatan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) 2035 di Pusat Konvensyen Setia Alam di Shah Alam, hari ini.

Amirudin berkata setakat ini, kerajaan negeri memberi penekanan kepada kaedah kawalan dan pemantauan bagi memastikan rakyat terus mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Sememangnya pegawai penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) akan memantau setiap premis supaya mereka mematuhi SOP termasuk melaksanakan jarakan sosial.

Tetapi seperti yang kita ketahui, bilangan penguat kuasa agak terhad, tidak semua boleh turun memantau kerana bilangan premis banyak, sebab itu kepatuhan masyarakat sangat penting,” katanya.

Dalam pada itu, Amirudin berkata kerajaan negeri juga sentiasa bersiap siaga sekiranya kerajaan persekutuan melaksanakan kembali Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, langkah untuk melaksanakan semula PKP itu bukan untuk menakutkan rakyat, sebaliknya merupakan cara terbaik bagi mengurangkan peningkatan kes Covid-19.

Sebelum ini, Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan mungkin akan kembali melaksanakan PKP jika kes positif Covid-19 mencecah tiga angka. – Bernama, 27 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen