KEMENTERIAN Kesihatan akan berbincang dengan syarikat penerbangan mengenai cara untuk menjalankan ujian saringan Covid-19 ke atas penumpang transit, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah hari ini.
“Kita akan bincangkan dengan syarikat penerbangan untuk pelaksanaannya, namun penumpang yang perlu membayarnya bukan kerajaan Malaysia,” tambahnya.
Ini berikutan sekatan sementara yang dikenakan kerajaan Kemboja terhadap penerbangan dari Malaysia dan Indonesia yang akan berkuatkuasa pada 1 Ogos.
Menurut Khmer Times, keputusan melaksanakan sekatan itu dibuat selepas lebih 100 kes dikesan dalam kalangan penumpang dari dua negara ini.
Noor Hisham mendedahkan 55 kes Covid-19 di Kemboja yang dikatakan berasal dari Malaysia sebenarnya adalah daripada penumpang transit di lapangan terbang Malaysia.
“Kita perlu cari cara untuk menjalankan ujian terhadap mereka yang transit (di Malaysia),” katanya yang merujuk kepada kluster PUI Melbourne dan kes no. 22 yang dikaitkan dengan kapal persiaran Westerdam sebagai contoh.
Tambahnya, ia juga terpulang kepada syarikat penerbangan untuk mengenakan syarat penumpang hanya boleh menaiki pesawat selepas mereka disahkan negatif ujian Covid-19. – 27 Julai, 2020.
Komen