Kes Covid-19: Pyongyang mungkin akan salahkan Seoul, kata penganalisis


Proses nyah cemar kuman di luar sebuah bangunan di Pyongyang bagi membendung wabak Covid-19. – Gambar EPA, 27 Julai, 2020.

KOREA Utara mungkin akan menyalahkan Korea Selatan sebagai punca kes pertama Covid-19 di negara itu, kata penganalisis.

Media tempatan pada Ahad melaporkan Pyongyang mengenakan perintah berkurung di Kaesong selepas seorang pembelot yang disyaki dijangkiti Covid-19 menyeberangi sempadan.

Selama empat bulan Korea Utara menafikan mempunyai kes jangkitan virus yang pertama kali dikesan di China pada Disember lalu.

Pihak berkuasa Seoul pada Isnin berkata pembelot itu tidak pernah disahkan positif di Korea Selatan atau mempunyai kontak dengan pesakit Covid-19.

Korea Selatan menjalankan lebih 1.5 juta ujian saringan sebagai usaha untuk membendung wabak.

Penganalisis berkata Pyongyang mungkin sebenarnya sudahpun mempunyai kes positif, namun mencari helah untuk menyalahkan Seoul.

“Korea Utara mungkin akan cuba menggunakan pembelot sebagai punca sedangkan jangkitan memang sudahpun ada, atau sebagai cara untuk menutup kegagalan langkah kuarantin,” kata bekas penganalisis Rachel Lee dari Amerika Syarikat.

“Ia akan menyalahkan kelemahan barisan hadapan Korea Selatan. Malah boleh jadi akan mendakwa Korea Selatan sengaja hantar pembelot ke Utara untuk sebarkan virus,” katanya.

Duyeon Kim, pakar dari International Crisis Group, berkata dengan mendakwa kes diimport dari Korea Selatan, Pyongyang sekarang secara terbuka akan menerima bantuan dari Seoul. – AFP, 27 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen