SEORANG ahli perniagaan yang membantu Jepak Holdings Sdn Bhd mendapatkan projek solar hibrid bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak memohon supaya kes samannya terhadap pengarah urusan syarikat itu, Saidi Abang Samsudin diputuskan melalui penghakiman terus.
Rayyan Radzwill Abdullah, 41, menfailkan saman itu terhadap Saidi, 61, menerusi Tetuan Ravee and Associates pada 29 Februari lepas atas dakwaan rakan perniagaannya itu gagal membayar baki bayaran RM9 juta atas perkhidmatan yang dilakukan bagi mendapatkan projek solar hibrid tersebut.
Peguam Ravee G. Uthirapathy yang mewakili Rayyan memberitahu pemberita bahawa mahkamah menetapkan 4 September untuk mendengar permohonan defendan (Saidi) bagi membatalkan sebahagian perenggan dalam afidavit sokongan dan afidavit balasan plaintif (Rayyan) yang difailkan bersama permohonan penghakiman terus berkenaan.
“Pendengaran bagi permohonan penghakiman terus akan ditetapkan kemudian,” katanya kepada pemberita selepas pengurusan kes di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Ahmad Bache hari ini.
Rayyan, selaku plaintif memohon untuk penghakiman terus di bawah Aturan 14 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 dimasukkan terhadap defendan. Penghakiman terus ialah mahkamah memutuskan sesuatu kes melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi pada perbicaraan.
Dalam penyataan tuntutan, Rayyan mendakwa pada awal tahun 2016, Saidi telah melantiknya sebagai penasihat bagi memperoleh dan menyediakan kertas kerja untuk projek solar hibrid dan sebagai balasan defendan berjanji untuk membayar yuran sebanyak RM10 juta apabila projek berjaya diperoleh oleh defendan.
Dakwa plaintif pada 10 Disember 2016, defendan telah berjaya memperoleh projek itu dengan nilai kasar projek adalah RM1.25 bilion daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), hasil usaha dan kerja-kerja yang dilakukan oleh plaintif.
Menurutnya, pada 10 Ogos 2017 defendan telah membayar wang sebanyak RM1 juta kepadanya dan sehingga kini baki bayaran sebanyak RM9 juta masih tertunggak dan belum dijelaskan oleh defendan.
Oleh itu, plaintif menuntut baki bayaran RM9 juta, ganti rugi RM20 juta akibat kehilangan peluang pelaburan, ganti rugi am, faedah dan kos.
Saidi dalam penyataan pembelaan difailkan 6 April lepas menafikan bahawa beliau pernah melantik plaintif sebagai penasihat bagi memperoleh dan menyediakan kertas kerja untuk projek solar hibrid itu selain mendakwa perjanjian untuk projek dimasuki antara Jepak Holdings dengan KPM dan bukan atas kapasiti persendirian defendan.
Saidi juga menfailkan tuntutan balas terhadap Rayyan menuntutnya memulangkan semula wang RM1 juta yang dibayar kepadanya dengan serta-merta.
Rayyan merupakan saksi pendakwaan dalam kes isteri bekas perdana menteri Rosmah Mansor yang berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan sebanyak RM6.5 juta membabitkan projek solar hibrid itu. – Bernama, 27 Julai, 2020.
Komen