Pengarah syarikat didakwa palsu dokumen kontrak Tourism Malaysia


Seorang pengarah syarikat pengiklanan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas 12 tuduhan guna dokumen palsu berhubung kontrak Tourism Malaysia bernilai RM10 juta. – Gambar ihsan SPRM, 27 Julai, 2020.

SEORANG pengarah syarikat pengiklanan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas 12 tuduhan menggunakan dokumen palsu berhubung kontrak Tourism Malaysia bernilai RM10 juta.

Ibrahim Omar, 45, mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Beliau dikenakan 10 pertuduhan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan, atas jenayah secara tidak jujur menggunakan suatu dokumen sebagai tulen. Jika sabit kesalahan beliau boleh dihukum penjara dua tahun atau denda, atau kedua-duanya bagi setiap satu pertuduhan, mengikut Seksyen 465 kanun yang sama.

Ibrahim juga dikenakan dua pertuduhan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 atas jenayah mengemukakan tuntutan palsu.

Sabit kesalahan di bawah pertuduhan itu membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun atau denda tidak kurang daripada RM10,000 atau lima kali ganda nilai yang dipalsukan.

Mahkamah menetapkan ikat jamin RM250,000 dengan seorang penjamin selain memerintahka tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Ibrahim juga diminta melapor diri ke pejabat SPRM di Putrajaya pada setiap bulan.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 1 September.

Ibrahim antara tiga pengarah syarikat yang ditahan oleh SPRM pada Jun lalu bagi membantu siasatan berhubung kontrak pengiklanan kerajaan bernilai kira-kira RM90 juta yang dikatakan diperolehi secara rasuah. – 27 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen