RUU pinda hukuman lebih berat pemandu mabuk dibentangkan


Chan Kok Leong

Menteri Pengangkutan Dr Wee Ka Siong bentang RUU pinda hukuman bagi kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan di Dewan Rakyat pagi ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Julai, 2020.

HUKUMAN minimum bagi kesalahan memandu secara cuai dan berbahaya hingga menyebabkan kematian akan dinaikkan kepada penjara lima hingga 10 tahun dan denda tidak kurang RM20,000-RM50,000, menurut pindaan Rang Undang-undang (RUU) Akta Pengangkutan Jalan.

Dan bagi sabitan kes kali kedua atau berikutnya, hukuman penjara akan dikenakan antara 10 hingga 15 tahun dan denda dinaikkan kepada RM50,000-RM100,000.

Sebagai tambahan kepada denda dan hukuman penjara, mereka yang disabitkan bersalah di bawah Seksyen 41 akan dilarang mempunyai atau mendapatkan lesen memandu bagi tempoh tidak kurang lima tahun (sebelum ini tiga tahun).

Pindaan RUU itu dibentangkan bagi bacaan pertama oleh Menteri Pengangkutan Dr Wee Ka Siong di Dewan Rakyat selepas sesi soal jawab pagi ini.

RUU itu juga bertujuan meminda Seksyen 41 bagi pemanduan cuai dengan menambah tempoh larangan mempunyai lesen memandu daripada dua tahun kepada lima tahun.

Ia juga bertujuan menaikkan denda bagi pemanduan cuai daripada antara RM4,000-RM10,000 kepada RM10,000-RM15,000.

Seksyen 41 berkenaan pemanduan berbahaya hingga menyebabkan kematian sementara Seksyen 42 pemanduan berbahaya.

RUU pindaan itu bertujuan untuk membanteras memandu dalam keadaan mabuk, turut bertujuan menaikkan hukuman mengikut Seksyen 44 iaitu memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah.

Dalam pindaan yang dicadangkan, individu yang memandu dalam keadaan mabuk hingga menyebabkan kematian boleh dihukum penjara 10 hingga 15 tahun dan denda RM100,000.

Sabitan berikutnya akan dikenakan penjara 15-20 tahun dan denda antara RM100,000-RM150,000.

Memandu dalam keadaan mabuk hingga menyebabkan kecederaan akan berdepan hukuman penjara tujuh hingga 10 tahun dan denda RM30,000-RM50,000.

Sabitan berikutnya boleh dikenakan penjara 10-15 tahun dan denda RM50,000-RM100,000.

Individu yang disabitkan bersalah memandu dalam keadaan mabuk tidak akan dibenarkan mempunyai lesen memandu bagi tempoh tidak kurang tujuh tahun dari tarikh sabitan. – 27 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen