Kerajaan disaran beri murid sekolah pelitup muka guna semula


Chan Kok Leong

Bekas timbalan menteri kesihatan Dr Lee Boon Chye menyarankan kerajaan beri pelitup muka guna semula kepada murid sekolah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Julai, 2020.

SETIAP murid sekolah perlu diberi dua keping pelitup muka guna semula susulan kes jangkitan Covid-19 meningkat kebelakangan ini, kata bekas timbalan menteri kesihatan Dr Lee Boon Chye.

“Ini akan membantu membendung penularan Covid-19 di kalangan murid sekolah di mana keberangkalian jangkitan tanpa gejala jauh lebih tinggi berbanding orang dewasa,” kata ahli Parlimen Gopeng itu pada sidang media di Parlimen hari ini.

“Dengan cuma RM2 sekeping, kerajaan akan mengeluarkan kos hanya sekitar RM20 juta.

“Selain itu akan dapat mengurangkan beban ibu bapa yang membeli pelitup muka pakai buang (pada harga RM1.50 sekeping)untuk anak mereka,” jelas beliau.

Tambah Dr Lee, cara ini lebih berkesan dan praktikal dalam membendung jangkitan memandangkan terdapat seramai 5.4 juta murid sekolah di negara ini.

Malaysia kebelakangan ini mencatatkan peningkatan kes Covid-19 terutamanya di Sarawak.

Kementerian Kesihatan semalam melaporkan sebanyak 13 kes baharu dan satu kematian. Ini menjadikan jumlah keseluruhan kini 8,897 kes, dengan 124 kematian.

Bagi kes baharu, tiga adalah kes import dari Pakistan, Kazakhstan dan Indonesia, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah semalam.

Sepuluh kes penularan dilaporkan, di mana sembilan membabitkan warga Malaysia dan satu kes bukan warga negara, tambahnya.

Kes jangkitan dalam kalangan bukan warga negara membabitkan satu kes daripada Kluster Bukit Tiram.

Jumlah kes aktif pula 173 dan dua pesakit dirawat di unit rawatan rapi, kata Dr Noor Hisham.

Kerajaan juga pada masa yang sama digesa menjelaskan apa yang terjadi kepada rancangan untuk mengedarkan pelitup muka percuma kepada setiap isu rumah.

“Kerajaan kata akan edar ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) dimulakan awal Mac lalu, kami terima banyak aduan dari rakyat bahawa mereka tidak terima pelitup muka,” kata Ahli Parlimen Johor Bahru Akmal Nasir.

“Adakah kerajaan sudah jalankan audit untuk siasat jika pelitup muka sudah diedarkan?”

Katanya, harga siling baharu yang lebih rendah bagi pelitup muka perlu dikuatkuasakan sebaik sahaja pemakain pelitup muka diwajibkan.

“Kerajaan tetapkan 1 Ogos wajib pakai pelitup muka tetapi turunkan harga siling daripada RM1.50 kepada RM1.20 mulai 15 Ogos. Kenapa tak lakukan serentak?” soalnya. – 27 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen