PENGUSAHA kedai pajak gadai tidak menjangkakan peningkatan hasil dalam perniagaan sebaik sahaja moratorium berakhir pada September, kata presiden persatuan Tan Ho Keng.
“Saya tidak fikir berlaku peningkatan perniagaan pajak gadai kerana aliran tunai masih berada dalam seluruh pasaran,” kata Presiden Pajak Gadai Malaysia itu kepada The Malaysia Insight.
“Selama ini pelanggan telah menebus barang mereka dengan ahli kami, jadi ini menunjukkan bahawa pasaran mempunyai banyak wang,” tambahnya.
Disebabkan itu beliau menjangkakan kadar perniagaan yang rendah apabila moratorim berakhir.
Bertentangan dengan anggapan bahawa perniagaan pajak gadai sedang berkembang pesat, pengendali pajak gadai sebenarnya mengalami penurunan hasil 20% sejak Mei ketika mereka diizinkan untuk membuka semula perniagaan di bawah tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
“Jika kami mempunyai perniagaan yang bagus, kenapa orang ramai tidak beratur di kedai kami,” katanya sambil menambah bahawa perniagaan itu agak perlahan di pasaran.
Ketika kedai pajak gadai dibenarkan beroperasi semula pada Mei, berita tentang orang ramai beratur di luar kedai pajak gadai memberi gambaran bahawa ramai orang memajak barangan kemas mereka untuk mendapatkan wang.
Namun syarikat pajak gadai di seluruh negara mengatakan bahawa keadaan itu disebabkan oleh orang ramai yang mahu menebus barangan yang dipajak kerana bimbang mereka akan kehilangannya setelah tamat tarikh penebusan semasa PKP.
Turut dilaporkan hari ini, kedai pajak gadai di Johor menjangkakan lebih ramai pelanggan datang ke kedai mereka untuk memajak barangan berharga sebaik sahaja moratorim berakhir pada September.
Kedai pajak gadai menjadi cara pantas dan mudah untuk mendapatkan wang dengan memajak atau menggadaikan barang berharga.
Tidak seperti bank, kedai pajak gadai memberikan wang tunai tanpa perlu memeriksa rekod hutang atau meminta bukti pendapatan.
Kerajaan baru-baru ini mengumumkan bahawa moratorium hutang bank tidak akan dilanjutkan selepas September. – 27 Julai, 2020.
Komen