Kota Sentosa di Sarawak dikenakan perintah berkurung


Desmond Davidson

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata kawasan perbandaran dan kediaman di sekitar hospital sebagai "kawasan pengesanan kes aktif". – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Julai, 2020.

SARAWAK akan menempatkan kawasan perbandaran Kota Sentosa, di mana hospitalnya berada di kawasan jangkitan aktif Covid-19 di bawah perintah berkurung.

Dalam satu kenyataan, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata kawasan perbandaran dan kediaman di sekitar hospital sebagai “kawasan pengesanan kes aktif”.

Namun, JPBN masih belum menetapkan lagi waktu perintah berkurung akan dikuatkuasakan, atau wilayah serta jumlah orang yang akan terjejas dengan keputusan tersebut.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas mesyuarat tergempar JPBN yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri Abang Johari Openg lewat petang tadi.

Pengisytiharan itu bermaksud penduduk di kawasan yang terjejas tidak dibenarkan keluar dari kawasan kes aktif yang ditetapkan semasa tempoh pengesanan kes sedang dilakukan dan orang luar tidak dibenarkan masuk ke kawasan tersebut.

Timbalan Ketua Menteri, Douglas Uggah menjelaskan tindakan itu adalah bertujuan “untuk menyekat, bukannya menghentikan pergerakan orang ramai”.

Beliau berkata hal itu adalah untuk memudahkan pekerja kesihatan melakukan pengesanan kontak, dan menyekat kemungkinan penularan dengan meminimumkan kemasukan orang luar.

Penduduk yang terjejas boleh keluar dan membeli makanan dari kedai dan pasar raya di dalam kawasan yang ditentukan, namun mereka tidak dibenarkan keluar dari kawasan tersebut untuk membeli makanan.

Kenyataan itu berkata bahawa keputusan untuk mengisytiharkan Kota Sentosa, kira-kira 11km dari bandar Kuching, adalah salah satu tindakan segera yang perlu diambil bagi mengekang penuaran Covid-19 di negeri ini.

Sebagai langkah untuk mengekang penularan, jawatankuasa juga telah mengambil keputusan untuk mewajibkan semua rakyat Malaysia dari semenanjung, Sabah dan Labuan untuk dikuarantin semasa tiba di negeri ini bermula 1 Ogos.

Sekiranya mereka negatif dalam tempoh kuarantin, mereka akan dibenarkan keluar.

Keputusan ini akan dilaksanakan sehingga 14 Ogos. – 26 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen