MENTERI Dalam Negeri Tunisia Hichem Mechichi dilantik untuk membentuk kerajaan, kata pejabat presiden negara itu di tengah ketegangan politik di antara parti-parti besar di negara itu.
Peguam berusia 46 tahun itu menggantikan Elyes Fakhfakh, yang meletak jawatan sebagai perdana menteri awal bulan ini.
Bagaimanapun, Mechichi tidak tersenarai dalam senarai nama yang dicadangkan parti kerajaan kepada Presiden Kais Saied.
Dalam satu kenyataan berikutan pengumuman itu, Mechichi berkata bahawa beliau akan “berusaha untuk membentuk kerajaan yang memenuhi harapan semua rakyat Tunisia”.
Tunisia dipuji sebagai kisah kejayaan yang jarang berlaku dalam peralihan demokratik setelah pemberontakan serantau Arab Spring yang tercetus ekoran revolusi pada 2011.
Namun para pemimpinnya dilihat berhempas pulas bagi memenuhi harapan rakyat Tunisia dan ekonomi yang semakin menguncup ekoran penutupan sempadan negara itu akibat pandemik Covid-19.
Covid-19 telah meragut sekitar 50 nyawa dan menjangkiti lebih dari 1,400 orang di Tunisia. – AFP, 26 Julai, 2020.
Komen