Usahawan perhotelan mahu Putrajaya libatkan mereka isu perlesenan arak


Kumpulan pengusaha dan perniagaan hotel merayu untuk diadakan perjumpaan bersama Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa bagi dilibatkan dalam menyelesaikan isu perlesenan arak. – Gambar AFP, 26 Julai, 2020.

PERSATUAN hotel-hotel dan perdagangan memohon untuk dilibatkan sebagai pihak berkepentingan bagi menyelesaikan isu perlesenan minuman keras.

Pada sidang media hari ini, kumpulan pengusaha dan perniagaan hotel merayu untuk diadakan perjumpaan bersama Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa bagi menyelesaikan masalah tersebut.

“Kami memahami bahawa Kementerian Wilayah Persekutuan akan bekerjasama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Kesihatan, Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Kastam untuk mendraf panduan pengeluaran lesen minuman keras.

“Kami sangat prihatin dengan beberapa perubahan yang diusulkan kerana panduan dan dasar tentang penjualan minuman keras dalam industri makanan dan minuman sudah ketat dan memadai.

“Oleh kerana banyak pengendali dalam industri makanan dan minuman  perlu memperbaharui lesen minuman keras mereka dalam beberapa minggu akan datang, kami ingin merayu menteri wilayah untuk berunding dengan kami sebagai pihak berkepentingan,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu ditandatangani oleh Persatuan Peniaga Cina Wain dan Arak Selangor and Kuala Lumpur, Persatuan Peniaga Ubat Cina, Persatuan Hotel-hotel Malaysia Wilayah Persekutuan dan Selangor, Persatuan Peniaga Minuman Persekutuan Tanah Melayu, Persatuan Perdagangan Cina Malaysia, Persatuan Federasi Ku Su Shin, Persatuan Peniaga Aneka Barang Malaysia, Persatuan Teochew Selangor dan Kuala Lumpur .

Kumpulan peniaga dan pengendali makanan dan minuman berkata bahawa mereka telah melaksanakan semua peratuan penjarakan sosial yang diarahkan oleh kerajaan selain menyaksikan perniagaan mereka menyusut hingga 70%.

“Penyusutan ini telah menghasilkan penurunan besar pendapatan.

“Walaupun begitu, kami masih menghadapi cabaran besar dan terus menggaji ribuan pekerja dan menjalanlam perniagaan dengan ratusan pembekal.

“Ramai di antara kami akan tamat lesen minuman keras tidak lama lagi dan kami harus memilih untuk beroperasi tanpa lesen penjualan minuman keras bagi memastikan pekerja tetap terus bekerja. Namun dalam proses itu, kami akan terus terdedah dengan tindakan serbuan pihak berkuasa.

“Oleh itu, kami mendesak lembaga pelesenan minuman keras Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk bersidang semula dengan kadar segera, jika tidak, mata pencarian kami dan mereka yang bekerja dengan kami terpaksa berhenti,” kata kumpulan itu.

Perikatan Nasional memutuskan untuk menangguhkan pemberian lesen minuman keras baharu berikutan beberapa insiden pemanduan minuman keras yang mengakibatkan kematian.

Minggu lalu di Parlimen Jabatan Kastam mengumpulkan duti eksais sebanyak RM2.27 bilion dengan hasil cukai penjualan sebanyak RM341.9 juta dalam penjualan minuman keras tahun lalu. – 26 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen