PUTRAJAYA akan mengumumkan prosedur operasi standard perintah kawalan pergerakan dalam fasa pemulihan (PKPP) esok, kata menteri kanan keselamatan Ismail Sabri Yaakob.
Sehingga pengumuman esok, kerajaan setakat ini masih membenarkan orang ramai bergerak merentas negeri, katanya.
“SOP untuk Aidiladha akan diumumkan esok,” katanya, dipetik oleh media di Kota Bharu, Kelantan.
Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Berkenaan Pelaksanaan PKP semalam setuju untuk mengetatkan semula SOP membendung penularan wabak susulan peningkatan kes Covid-19 dalam tempoh 10 hari lalu.
Ismail semalam berkata perincian SOP itu dibincangkan pada peringkat jawatankuasa teknikal pada hari ini sebelum dibentangkan dalam mesyuarat peringkat menteri esok.
Dalam pada itu, Ismail meminta orang ramai mematuhi SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan, tanpa perlu dipaksa oleh pihak berkuasa.
“Kita semua patut menjadi barisan hadapan dan nasihatkan keluarga terdekat supaya mengikut SOP ditetapkan.
“Apa yang membimbangkan Aidiladha nanti bila acara sembelih lembu, tiada jarak sosial dilakukan dan selepas itu majlis kenduri pula diadakan,” katanya.
Umat Islam dijadual menyambut Aidiladha pada Jumaat ini.
SOP Aidiladha khususnya ibadat korban yang diumumkan sebelum ini membenarkan penyembelihan haiwan korban dibuat di masjid atau surau, atau tempat yang dibenarkan oleh pihak berkuasa tempatan, dengan kehadiran tidak lebih 30 orang. – 26 Julai, 2020.
Komen