Umno tiada masalah terima semula Muhyiddin, kata Tajuddin Rahman


Zaim Ibrahim

Tajuddin Abdul Rahman terbuka untuk menerima pemimpin Umno yang telah keluar parti untuk kembali ke pangkuan parti itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Julai, 2020.

UMNO tiada masalah untuk menerima semula Muhyiddin Yassin ke pangkuan parti tetapi tiada jaminan beliau boleh jadi presiden kerana jawatan itu adalah pilihan ahli parti, kata Tajuddin Abdul Rahman.

Ahli Majlis Tertinggi Umno itu menjelaskan, beliau terbuka untuk menerima mana-mana pemimpin Umno yang telah keluar parti untuk kembali ke pangkuan parti keramat Melayu itu.

“Saya dah pernah buat kenyataan sebelum ini menyeru Muhyiddin Yassin untuk kembali kepada Umno, selesai masalah. Tidak ada masalah nak bincang, runding perkara itu dan ini dengan parti lain.

“Soal presiden Umno, terpulang kepada ahli Umno. Ahli Umno yang tentukan, bukan boleh ditentukan seorang dua individu. Siapa boleh jadi presiden? Tak semestinya orang itu ini,” katanya kepada wartawan di George Town, hari ini.

Jelas Tajuddin, jawatan dalam parti bukan hak mana-mana pihak untuk menentukan dan tiada mana-mana pemimpin boleh kekal dengan jawatannya, yang berubah setiap kali ada pemilihan parti.

“Kalau Muhyiddin Yassin dapat sokongan ahli Umno sebagai presiden dia jadi presidenlah. Kalau Ahmad Zahid Hamidi  (Presiden Umno sekarang) masih dapat sokongan, dia terus jadi presiden.

“Tiada yang kekal dalan jawatan, semua bergantung kepada ahli parti,” katanya.

Dengan berseloroh, Tajuddin berkata beliau sendiri pun boleh jadi presiden Umno – kalau ada sokongan.

“Saya boleh jadi (presiden) kalau dapat sokongan. Tapi setakat hari ini tak ada sokongan..mana boleh jadi,” katanya.

Tajuddin diminta mengulas kenyataan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan bahawa Umno boleh mengubah keputusan memecat Muhyiddin dari parti itu sekiranya perdana menteri mahu kembali menyertai parti.

Menurut Mohamad, sekiranya kembali bersama Umno, Muhyiddin boleh jadi perdana menteri yang didukung oleh parti yang besar,  yang mempunyai ramai wakil rakyat di Parlimen.

“Kalau ada hasrat kembali kepada parti, kita boleh mengubah semula keputusan memecat beliau. Kami mengalu-alukan jika ada hasrat Tan Sri (Muhyiddin) hendak kembali ke Umno, lebih baik begitu,” katanya.

Muhyiddin yang kini presiden Bersatu dipecat dari Umno pada 2016 kerana lantang mengkritik skandal 1Malaysian Development Berhad (1MDB).

Sebelum kenyataan Mohamad semalam beberapa pemimpin Umno pernah mempelawa Muhyiddin kembali ke pangkuan parti.

Tajuddin sendiri membuat jemputan terbuka kepada Muhyiddin pada awal Mei.

Dua minggu lalu, Ahli Parlimen Padang Rengas Mohamed Nazri Aziz juga mencadangkan Muhyiddin agar menyertai Umno semula dan memimpin parti itu sebagai presiden. – 26 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen