RIBUAN penduduk Israel melakukan demonstrasi pada Sabtu di Baitulmaqdis dan beberapa bandar lain termasuk Tel Aviv, menuntut Perdana Menteri Benjamin Netanyahu meletakkan jawatan berhubung cara pentadbirannya menangani wabak koronavirus.
Di Baitulmaqdis, mereka melakukan demonstrasi di luar kediaman Netanyahu dengan membawa sepanduk yang menuduhnya melakukan rasuah, merujuk kepada pendakwaan terhadap perdana menteri pada Januari kerana rasuah, penipuan dan pecah amanah. Beliau menafikan semua tuduhan itu.
“Kami bosan dengan mereka yang rasuah,” tulis beberapa sepanduk, dan yang lain bertulis “Di mana moral? Di mana nilai murni?”
Penunjuk perasaan juga membantah undang-undang diluluskan minggu ini yang memberi kerajaan kuasa khas memerangi penyebaran virus tersebut hingga akhir 2021.
Protes terhadap kejatuhan ekonomi akibat wabak itu tersebar di seluruh negara dalam beberapa minggu terakhir.
Dalam beberapa kes, polis meleraikan peserta protes dengan penyembur air dan turut mencederakan beberapa yang lain.
Israel menerima pujian susulan respons awalnya terhadap wabak Covid-19, tetapi kerajaan dikritik ketika kebangkitan semula kes selepas sekatan ditarik kembali mulai akhir April.
Selepas menyaksikan lebih 1,000 jangkitan koronavirus baru sehari dalam beberapa minggu terakhir, kerajaan mengenakan semula beberapa sekatan, termasuk menutup bar, kelab malam dan gimnasium.
Israel setakat ini mencatat 60,496 kes yang disahkan, termasuk 455 kematian.
Pada Sabtu ribuan penunjuk perasaan juga berarak di Tel Aviv.
Mereka kecewa dengan kesan kawalan virus terhadap ekonomi, dengan golongan penganggur dan keluarga berpendapatan rendah berkata kerajaan tidak melakukan secukupnya untuk membantu mereka.
Pengangguran di Israel melonjak 3.4% pada Februari kepada 27% pada April, sebelum turun sedikit pada Mei kepada 23.5%. – AFP, 26 Julai, 2020.
Komen