Korea Utara pertama kali lapor kemungkinan kes Covid-19 


KOREA Utara pada Ahad melaporkan kes yang disyaki Covid-19, menurut media negaranya yang sekaligus mengakui untuk pertama kalinya bahawa koronavirus mungkin telah masuk ke negara itu.

Agensi berita rasmi KCNA menggambarkan kes itu sebagai “invidivu disyaki dijangkiti virus ganas yang pulang pada 19 Julai selepas melintasi sempadan secara haram.”

Pyongyang sebelum ini berkata tiada kes Covid-19 dan sempadan negara masih ditutup.

KCNA menyifatkan mangsa virus yang disyaki sebagai “pelarian yang pergi ke selatan tiga tahun lalu,” dan ditemui di Bandar Kaesong, sempadan dengan Korea Selatan.

Individu yang tidak disebutkan namanya itu “diletakkan di bawah kuarantin ketat sebagai langkah utama dan semua orang ... yang menjadi kontaknya dan mereka yang pergi ke bandar dalam lima hari terakhir sedang disiasat secara menyeluruh” serta dikuarantin, kata KCNA.

Bagi mengatasi “situasi berbahaya ... yang boleh menyebabkan bencana membawa maut dan merosakkan,” pemimpin Korea Utara Kim Jong Un mengadakan mesyuarat tergempar pada Sabtu untuk melaksanakan “sistem darurat maksimum dan mengeluarkan amaran kelas tertinggi bagi mengekang wabak itu, kata KCNA.

Walaupun ada langkah pencegahan yang ketat, “virus ganas itu dikatakan sudah memasuki negara ini,” kata Kim, menurut KCNA.

Kim berkata kerajaan mengambil “langkah pencegahan sepenuhnya dengan menjalankan perintah pengurungan sepenuhnya terhadap Bandar Kaesong” pada 24 Julai. – AFP, 26 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen