Bebas skandal, Shafie Apdal layak jadi calon PM, kata pemimpin Warisan


Tan Yih Pey

Mohd Shafie Apdal mampu membantu meredakan isu politik kaum di Malaysia jika menjadi perdana menteri, kata Liew Vui Keong. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Julai, 2020.

KETUA Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal masih menjadi pilihan terbaik pembangkang sebagai calon perdana menteri berdasarkan rekodnya sebagai menteri Kabinet yang tidak dicemari sebarang skandal, kata Pengerusi Tetap Warisan Liew Vui Keong.

Kata Liew, rekod Shafie itu tidak seperti bekas rakannya dalam Umno.

Liew mengulangi sokongan kepada Shafie sebagai calon perdana menteri walaupun pada awal bulan ini Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) mengumumkan sokongan mereka kepada Anwar Ibrahim.

Liew berpendapat Shafie merupakan ahli politik neutral yang tidak mempunyai skandal besar.

“Shafie mempunyai pengalaman 30 tahun dalam kerajaan persekutuan dan mempunyai pemahaman baik tentang cara institusi negara berfungsi,” kata bekas menteri hal ehwal undang-undang itu.

“Beliau juga berkhidmat sebagai timbalan pengerusi semasa bersama Umno dan amat dihormati sebagai pemimpian.”

Liew berkata kerajaan Sabah di bawah kepimpinan Shafie merupakan kerajaan berbilang kaum.

Katanya dengan Shafie menjadi perdana menteri jika pembangkang menawan semula Putrajaya, ia akan membantu meredakan isu politik kaum di Malaysia.

Selain itu, katanya Shafie juga akan mempertahankan hak dan kepentingan Malaysia Timur di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Penyelidik Kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, Dr Oh Ei Sun berkata Shafie mempunyai sokongan Melayu konservatif berbanding Anwar.

“Melayu konservatif tidak akan mempercayai Anwar. Berbanding Shafie, walaupun beliau bukan Melayu, tetapi beliau adalah Islam. 

“Beliau pernah berkhidmat sebagai menteri pembangunan luar bandar dan membantu rakyat. Saya percaya Shafie akan mendapat sokongan Melayu konservatif.”

Walaupun bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad menyokong Shafie sebagai calon perdana menteri bagi PH, Oh percaya Shafie mampu membawa diri sendiri.

“Selepas dibuang Umno kerana membangkitkan isu skandal 1Malaysia Development Bhd pada 2015, Shafie tidak menyertai Muhyiddin (Yassin) dan Dr Mahathir. Beliau kembali ke Sabah untuk membentuk Warisan,” kata Oh.

“Ini menunjukkan Shafie bukan jenis pemimpin yang akan mengikut telunjuk Dr Mahathir.”

Beliau berkata jika seorang rakyat Sabah menjadi perdana menteri, ia menjadi petanda baik kepada seluruh negara dan pembangunan di Malaysia Timur mampu setara dengan Semenanjung Malaysia.

Katanya jika Shafie menjadi perdana menteri, Warisan juga sedia meminda perlembagaan parti jika Dr Mahathir mahu menyertai parti tersebut. – 26 Julai, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen