2 hari untuk mereka yang belum buat ujian kedua Covid-19, kata menteri


2,897 orang yang melakukan kuarantin rumah tetapi masih belum buat ujian Covid-19 kedua diberi masa sehingga esok atau akan dikenakan tindakan mahkamah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Julai, 2020.

KERAJAAN memberi tempoh dua hari sehingga esok kepada 2,897 individu dikuarantin wajib di rumah yang masih gagal menjalani ujian saringan Covid-19 kali kedua pada hari ke-13 kuarantin untuk berbuat demikian.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata sekiranya mereka gagal berbuat demikian dalam tempoh dua hari ini, mereka akan ditahan, direman dan dihadapkan ke mahkamah.

“Tiada lagi kompromi, amaran dan nasihat kerana mereka boleh membahayakan nyawa orang lain. Kalau degil juga pada Isnin polis akan tangkap dan tahan mereka … tiada kompaun, charge (dakwa) di mahkamah terus,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Pusat Dagangan Dunia Putra, hari ini.

Ismail Sabri berkata perkara itu dipersetujui dalam Mesyuarat Khas Menteri-menteri berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Pejabat Perdana Menteri, di Putrajaya hari ini.

“Kerajaan memandang serius perkara ini kerana ada  kes lepas mendapati ada antara mereka (individu dikuarantin wajib di rumah) yang positif pada hari ke-13 dan kita takut mereka potong sendiri wristband. Kita nak ingatkan bahawa kita ada (maklumat) nama dan alamat mereka,” tegasnya.

Beliau juga berkata secara keseluruhan, seramai 9,600 individu masih menjalani proses kuarantin wajib di rumah masing-masing.

“Pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) bersama anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan membuat pemeriksaan mengejut  bagi memastikan semua yang terlibat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya.

Ismail Sabri berkata semua individu terbabit boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah terdekat untuk melakukan ujian saringan Covid-19 kali kedua.

“Pihak KKM juga boleh datang ke rumah mereka  untuk menjalankan ujian tersebut,” tambahnya. – Bernama, 25 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen