Video isteri kejar van presiden Peru rayu selamatkan suami tular


Celia Capira yang teresak-esak mengejar van presiden Peru tular, menggambarkan keterdesakan rakyat negara itu yang kini melaporkan lebih 370,000 kes Covid-19. – Gambar AFP, 25 Julai, 2020.

VIDEO seorang isteri mengejar van membawa Presiden Peru Martin Vizcarra dan merayu supaya menyelamatkan suaminya daripada Covid-19 tular.

“Tuan presiden, jangan pergi!” jerit Celia Capira yang teresak-esak merayu supaya katil hospital diberikan kepada suaminya dirakam di bandar kedua terbesar Peru, Arequipa pada Ahad.

Tetapi, kisah ibu tiga anak berusia 32 tahun itu tidak ada penamat gembira kerana suaminya Adolo Mamani, 57, meninggal dunia pada Selasa.

Sistem hospital Arequipa penuh sesak kerana kekurangan katil dan tangki oksigen menyebabkan suaminya tidak dapat diselamatkan.

Gambar Capira yang teresak menangis memakai pelitup muka mencerminkan betapa penduduk tempatan terdesak mahukan jawapan pihak berkuasa.

Di luar Hospital Honorio Delgado di mana Mamani meninggal dunia, pihak berkuasa membuka khemah yang penuh sesak dengan pesakit mendapat rawatan awal.

“Tuan presiden, tuan perlu ke khemas, jangan tinggalkan hospital sehingga tuan tengok keadaan (pesakit) di sini,” kata Capira teresak-esak ketika konvoi presiden mula bergerak meninggalkan kawasan itu.

“Tuan presiden, ia teruk dan tidak berperikemanusian,” jeritnya.

Pada Isnin, Mamani dipindahkan dari khemah ke katil hospital, tetapi meninggal dunia keesokkan harinya.

Pasangan itu menguruskan sebuah kedai di Arequipa.

“Apa yang saya perlu beritahu anak-anak, bagaimana saya hendak cakap yang ayah mereka sudah tiada,” kata Capira. Pasangan itu memiliki tiga anak berusia setahun, enam tahun dan 14 tahun.

Pada Selasa, Vizcarra memohon maaf kepada balu itu, berkata beliau tidak nampak wanita itu mengejar kenderaannya.

“Menyedihkan yang suami Puan Celia meninggal dunia. Saya ucapkan takziah dan minta maaf kerana tidak mendengarnya, dan kami sedia berkhidmat untuknya dan semua orang yang kehilangan kesayangan mereka,” kata Vizcarra.

Kes Covid-19 di Arequipa tidak menunjukkan tanda surut.

Dengan lebih 370,000 kes dan lebih 17,000 korban, Peru adalah salah sebuah negara Amerika Latin paling teruk terjejas kerana wabak itu.

“Jadikan saat ini sebagai pengajaran kepada semua,” kata Capira pada Rabu ketika mengebumikan suaminya di perkuburan La Apcheta, Arequipa. – AFP, 25 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen