Bergaduh kerana pelitup muka, pengawal keselamatan patah tangan


Ia adalah kejadian terbaru disebabkan kemelut pemakaian pelitup muka yang kini jadi isu politik di AS. – Gambar AFP, 25 Julai, 2020.

DUA beradik di California berdepan pertuduhan jenayah selepas bergaduh dengan pengawal keselamatan kedai kerana tidak memakai pelitup muka sehingga menyebabkan seorang pengawal patah tangan.

Philip dan Paul Hamilton berusia 31 dan 29 tahun, ditegur pengawal di kedai Target di Van Nuys- 30 kilometer dari Los Angeles- selepas dikesan tidak memakai pelitup muka seperti ditetapkan untuk mencegah penularan Covid-19.

Ketika diiring keluar, kedua-dua mereka menumbuk salah seorang daripada empat pengawal keselamatan dan pergaduhan tercetus, menyebabkan seorang pengawal patah tangan.

“Tidak pakai pelitup adalah pentingkan diri, salah dan langgar undang-undang,” kata peguam Bandar Los Angeles Mike Feuer dalam kenyataan, semalam.

“Kami tidak akan bertolak ansur kepada mana-mana respons ganas kepada usaha berwajaran untuk memastikan semua pelanggan perniagaan memakai pelitup muka.

“Kita ada satu musuh bersama, iaitu virus bukannya satu sama lain.”

Pergaduhan itu yang berlaku pada Mei dan dirakam video adalah salah satu kejadian sama yang berlaku di seluruh AS berkaitan isu pemakaian pelitup muka yang kini jadi isu politik.

Kedua-dua beradik itu berdepan pelbagai pertuduhan mencederakan dan menceroboh, berdepan penjara lebih setahun jika sabit bersalah. – AFP, 25 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen