AMERIKA Syarikat pada Jumaat mengumumkan ia tidak akan mengambil pelajar asing baharu untuk pengajian dalam talian, selepas wujud arahan dikecam hebat untuk mengusir mereka yang sudah berada di negara itu atau bersedia melanjutkan pelajaran kerana wabak.
Perubahan dasar itu diumumkan dalam kenyataan dikeluarkan Penguatkuasa Imigresen dan Kastam.
Presiden Donald Trump membuat keputusan tegas yang dikecam hebat tentang imigresen dan sudah menyekat beberapa visa untuk warga asing ketika wabak Covid-19 berlaku.
Perubahan dasar untuk membatalkan visa pelajar asing yang kelas mereka kini dilakukan dalam talian pada musim luruh dicabar di mahkamah oleh universiti terkenal termasuk Harvard dan MIT, kesatuan perguruan dan sekurang-kurangnya 18 negeri.
Dan pada 14 Julai, pentadbiran membatalkan keputusan itu.
Langkah itu diambil oleh pentadbiran Trump bagi mengenakan tekanan kepada institusi pendidikan yang berhati-hati untuk membuka semula kampus disebabkan wabak Covid-19 masih berlaku.
Trump mahu institusi pendidikan semua tahap dibuka semula dengan pengajian dalam kelas dilakukan semula bagi menunjukkan keadaan sudah kembali biasa menjelang pemilihan presiden pada November.
Beliau mahukan ia berlaku walaupun wabak di negara itu semakin tidak terkawal, dengan jumlah korban di AS kini lebih 144,000.
Pentadbirannya menyerahkan kepada pentadbiran negeri untuk menentukan bagaimana sekolah perlu dibuka semula.
Lebih sejuta pelajar antarabangsa berada di AS untuk tahun akademik 2018-19, menurut Institut Pendidikan Antarabangsa.
Banyak universiti bergantung kepada tuisyen dibayar pelajar antarabangsa.
Kebanyakan kolej dan universiti AS masih belum mengumumkan pelan untuk semester musim luruh tetapi Harvard berkata semua kelas untuk tahun akademik 2020-21 akan dilakukan dalam talian “kecuali benar-benar diperlukan”. – AFP, 25 Julai, 2020.
Komen