Kerajaan komited teruskan usaha dapatkan semula aset 1MDB, kata PM


Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan komited untuk meneruskan usaha mendapatkan semula aset-aset lain berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB). – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Julai, 2020.

KERAJAAN Malaysia komited untuk meneruskan usaha mendapatkan semula aset-aset lain berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB)  dan meneruskan tuntutan terhadap individu dan pihak yang berkaitan dengan skandal penyelewengan 1MDB, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

“Saya menyambut baik pengumuman mengenai penyelesaian bernilai RM16.6 bilion (US$3.9 bilion) yang telah dicapai antara kerajaan Malaysia dengan syarikat Goldman Sachs bagi tuntutan-tuntutan kerajaan berhubung salah laku dan penyelewengan dalam kes 1MDB,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan hari ini berkata Goldman Sachs Group Inc telah bersetuju untuk membayar sebanyak US$3.9 bilion  bagi penyelesaian tuntutan tertunggak berkaitan dengan tiga urus niaga bon yang telah disusun dan diatur untuk syarikat 1MDB. 

  Muhyiddin berkata, dengan penyelesaian ini, dana 1MDB yang akan dikembalikan kepada Malaysia secara keseluruhannya berjumlah RM19 bilion (AS$4.5 bilion) termasuk dana yang dipulangkan oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) sebelum ini.

Perdana Menteri turut melahirkan penghargaannya kepada Kementerian Kewangan, Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional dan pasukan perunding atas usaha mereka mencapai penyelesaian tersebut.

“Ini adalah satu kejayaan dalam usaha mengembalikan hak dan harta rakyat Malaysia,” katanya.  – Bernama, 24 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen