Bersatu berisiko hilang 5 kerusi DUN Johor


Mohd Farhan Darwis

Bersatu kurang berpengaruh dalam kalangan pengundi Melayu yang boleh menyebabkan parti itu tewas di lima daripada 11 kerusi di Dun Johor. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Julai, 2020.

AGIHAN kerusi di antara parti gabungan Parikatan Nasional (PN) di Johor tidak boleh mengikut status quo kerana Bersatu kurang berpengaruh dalam kalangan pengundi Melayu, kata pemimpin Umno.

Tuntutan itu berdasarkan analisis ke atas keputusan PRU14 yang menunjukkan Bersatu boleh tewas di lima daripada 11 kerusi yang disandangnya sekarang.

Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Johor Nur Jazlan Mohamed berkata, formula baharu diperlukan untuk agihan kerusi berdasarkan perubahan suasana politik tanah air.

Formula pada PRU14 katanya tidak lagi relevan memandangkan Bersatu menang atas tiket PH dan didukung pengundi bukan Melayu yang menyokong mereka, tegasnya.

“Kali ini formula baharu, tak boleh pakai (formula) PRU14. Hakikatnya di Johor ia bergantung kepada jentera dan pengundi Umno,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Jelasnya, sikap pengundi Johor terhadap Umno juga berbeza berbanding PRU14 kerana parti itu tidak lagi dibebani isu melibatkan bekas presidennya Najib Razak.

“Waktu PRU14 orang tak tengok calon Umno sebab isu melibatkan Najib. Kali ini orang tengok pada calon dan parti Umno semula,” katanya.

Analisis ke atas prestasi Bersatu di Johor menunjukkan parti itu berpotensi kehilangan kerusi Bukit Kepong dengan mengambil kira jumlah undi diraih BN dan PAS dalam PRU14.

Manakala tiga lagi kerusi iaitu Endau, Sedili, dan Johor Lama yang kini disandang Bersatu merupakan kerusi yang dimenangi Umno.

Tiga wakil rakyat tersebut keluar parti dan menyertai ke Bersatu tiga hari selepas Pakatan Harapan (PH) berjaya membentuk kerajaan.

Dua lagi kerusi iaitu Tenang dan Bukit Permai pula dimenangi Bersatu dengan majoriti tipis.

Berdasarkan perkiraan tersebut, penganalisis berpendapat kerusi berkenaan harus diberikan keutamaan kepada parti yang berupaya menang iaitu Umno.

Awang Azman Awang Pawi, pensyarah dari Universiti Malaya berpendapat demikian kerana dominasi parti itu di kawasan Melayu lebih tinggi berbanding Bersatu dan PAS.

Oleh itu dengan faktor gabungan dalam PN dan juga dengan kelebihan ahli dan jentera, Umno dijangka berupaya mengekalkan kerusi-kerusi itu, katanya.

“Sudah pasti kerusi-kerusi itu harus diserahkan kepada Umno kerana Bersatu dan PAS tidak dominan di Johor, dengan perkiraan majoriti tipis, peluang Umno menang ada.

“Kerusi Bersatu memang akan berkurang sedikit dan itu sudah pasti akan menjadi perjuangan mereka untuk menuntut agihan kerusi atas sentimen PN.

“Walaupun dari segi realitinya agak kurang logik sebab Bersatu kerusinya kurang berdaya saing dari segi akar umbi,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Dalam PRU14, Bersatu bertanding di kesemua kerusi majoriti Melayu yang turut ditandingi Umno dan PAS.

Kerusi Gambir yang dimenangi Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mempunyai majoriti 60% pengundi Melayu. Beliau ditentang calon MIC di kawasan tersebut dalam PRU14.

Walau tewas di kerusi tersebut, MIC masih berupaya menang di dua lagi kawasan majoriti Melayu, di Kahang dan Tenggaroh yang masing-masing mempunyai 74% dan 82% pengundi kaum itu.

Ia memberi kelebihan kepada PN yang berjaya merampas semula pentadbiran Johor selepas krisis politik pada akhir Februari apabila berjaya menguasai 29 kerusi berbanding 27 kerusi PH.

Malah Umno juga lebih berpengaruh berbanding PAS di Johor kerana BN menguasai 14 kerusi Dun berbanding PAS yang hanya menang satu kerusi iaitu Bukit Pasir.

Mengulas perkara itu, Nur Jazlan pula berkata formula agihan kerusi PN tidak sesuai dilaksanakan di Johor kerana tiada dominasi populasi pengundi oleh satu-satu kaum.

Kemajmukan pengundi di Johor dapat dilihat melalui taburan pengundi Melayu membentuk sejumlah 54.67%, manakala Cina 37.58%, dan India 6.25% dan 1.24% lain-lain kaum.

“Di Johor, Umno akan dapat undi lebih berbanding Bersatu dan PAS. Tidak banyak kawasan pengundi majoriti Melayu yang betul-betul tinggi,” kata Nur Jazlan.

Oleh itu dalam menghadapi tuntutan Bersatu, Nur Jazlan berkata Umno hanya bersedia menyerahkan kerusi di kawasan ahli parti sedia menerima dan membantu calon parti tersebut.

“Kecuali kawasan yang orang Umno sendiri nak bagi calon Bersatu dan setuju, contohnya Muhyiddin,” kata bekas ahli Parlimen Pulai itu lagi.

Beliau seterusnya menggesa Bersatu mengukur baju di badan sendiri supaya dapat mengetahui kekuatan sebenar parti tersebut.

“Nak bertanding tengok mana kerusi mereka boleh menang tanpa bergantung sangat kepada Umno. (Bersatu) jentera pun tidak ada dan hanya bergantung kepada jentera dan sokongan ahli Umno.

“Ahli mereka hendak jadi pekerja pilihan raya pun tak cukup, seperti ejen di pusat pengundian dan pengiraan,” tambahnya.

Keadaan itu berbeza bagi Umno di Johor yang menurutnya mempunyai bilangan pengundi dan jentera yang lebih tinggi berbanding komponen PN yang lain.

Beliau turut memberi amaran, PH mampu merampas kerusi berkenaan sekiranya silap percaturan dalam pengagihan kerusi antara parti dalam PN.

“Kalau pembahagian kerusi tak puaskan hati orang setempat mungkin berlaku pertandingan tiga penjuru, yang akan untung mestilah PH

“Itu bezanya Johor, bilangan pengundi bukan Melayu juga tinggi, akhirnya yang akan untung PH. Ini bukan soal perbalahan Umno atau Bersatu, ini soal nak bagi kerusi dan calon,” katanya.

Selain itu, Bersatu juga katanya harus mengemukakan calon yang berpotensi menang memandangkan calon mereka sebelum ini tidak berkesan mengalih sokongan pengundi Melayu.

“Kalau berkesan sokongan daripada Umno pasti beralih kepada Bersatu. Bersatu kena letak calon yang lebih efektif, yang mempunyai peluang menang lebih tinggi.

“Wakil rakyat mereka hari ini tak berjaya tambah kekuatan Bersatu, akhirnya Umno pula nanti kena bantu calon mereka yang berat untuk diterima oleh rakyat,” kata Nur Jazlan lagi.

Penganalisis Awang Azman bagaimanapun berpendapat, faktor Muhyiddin sebagai perdana menteri berupaya membantu Bersatu di Johor di sebalik dominasi Umno.

“Antara Umno dan PAS, memang Umno yang dominan. Sejarahnya ketotokan Umno sangat kuat di Johor.

“Memang kerusi Bersatu akan jadi amat sedikit tapi pada masa sama Bersatu akan minta agihan, walaupun angka akar umbi tak kuat, itu akan jadi perjuangan tuntutan kerusi.

“Dengan adanya Muhyiddin mereka rasa ada peluang untuk dapat kerusi mereka menang dahulu,” kata Awang Azman.

Menurut Setiausaha Bersatu Johor Solihan Badri bagaimanapun berkata soal pembahagian kerusi masih belum dibincangkan parti tersebut.

“Buat masa ini belum ada sesi perundingan dari dalaman parti atau komponen lain mengenai pembahagian kerusi,” kata Adun Tenang itu kepada The Malaysian Insight. – 25 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen