HOSPITAL Sentosa di pinggir Kuching dikenakan perintah berkurung susulan lapan lagi kakitangannya didapati positif Covid-19.
Lapan kes yang dikesan hari ini menjadikan jumlah kakitangan hospital yang dijangkiti virus itu kepada 16 orang. Mereka dipindahkan ke Hospital Besar Sarawak untuk diletakkan di wad isolasi dan rawatan.
Semua di hospital, daripada doktor hingga staf sokongan bukan perubatan, dilarang meninggalkan hospital walaupun sudah tamat waktu bertugas.
Lapan kes itu sebahagian daripada sembilan kes yang dikesan hari ini di negeri itu.
Pengerusi jawatankuasa pengurusan bencana negeri, Timbalan Ketua Menteri Douglas Uggah berkata kakitangan terbabit secara teknikalnya perlu menjalani kuarantin 14 hari di situ.
Beliau berkata kakitangan terbabit akan mengambil ujian saringan kedua pada hari 13 kuarantin dan jika negatif, mereka akan dilepaskan dan kembali bekerja.
Hospital itu yang dilabelkan sebagai kluster Sentosa, tidak lagi menerima kemasukan dan orang awam juga dilarang melawat pesakit di wad di hospital itu, atau mahu mendapatkan rawatan.
Uggah berkata lapan kakitangan itu, lima lelaki dan tiga wanita berusia antara 30 dan 48 tahun, menjalani ujian saringan bagi jangkitan dalam kalangan staf pada Rabu.
Katanya, semua tidak menunjukkan simptom jangkitan.
Kes pertama bagi kluster itu dikesan pada Ahad lalu.
Uggah berkata sehingga hari ini 643 kakitangan hospital sudah menjalani ujian saringan. – 24 Julai, 2020.
Berita penuh di sini.
Komen