Pasaran kereta murah dijangka terjejas bila moratorium pinjaman tamat


Ragananthini Vethasalam

Presiden MAA Aishah Ahmad berkata moratorium bayaran balik pinjaman bank yang akan tamat September depan tidak akan menjejaskan pasaran kenderaan mewah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Julai, 2020.

PASARAN kenderaan mewah kurang terjejas akibat penarikan balik moratorium terhadap pinjaman bank berbanding pasaran kereta biasa, kata Persatuan Automotif Malaysia (MAA).

Presiden MAA Aishah Ahmad berkata orang ramai tidak akan mempunyai wang untuk membeli kenderaan baharu, tetapi ia akan bergantung kepada kategori kenderaan berkenaan.

“Kenderaan mewah tidak akan terjejas, mereka yang ada wang, akan masih ada wang. Pasaran kereta bukan mewah yang akan terjejas,” katanya.

Bagaimanapun, Aishah berkata sukar untuk mengukur kesan penamatan moratorium itu secara tepat bagi pasaran kenderaan bukan mewah pada waktu ini.

Sementara itu, katanya pasaran kereta terpakai melonjak jualannya dengan lebih 100% peningkatan, terutama bagi kereta di bawah RM30,000, di luar Kuala Lumpur.

“Malah persatuan kereta terpakai juga sangat terkejut dengan permintaan itu,”  kata Aishah.

“Orang ramai masih takut untuk menggunakan pengangkutan awam. Mereka rasa lebih selamat memandu kenderaan sendiri.”

Awal minggu ini, kerajaan mengumumkan moratorium bayaran balik pinjaman bank tidak akan dilanjutkan selepas September. – 24 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen