Persatuan automotif semak semula ramalan jualan kenderaan 2020


Ragananthini Vethasalam

MAA menyemak semula ramalannya berkenaan jualan kenderaan untuk kali kedua tahun ini di mana kini ia jangka 470,000 unit akan dijual. – Gambar fail AFP, 24 Julai, 2020.

PERSATUAN Automotif Malaysia (MAA) menyemak semula ramalannya berkenaan jualan kenderaan untuk kali kedua tahun ini.

MAA kali pertama mengumumkan jangkaannya pada Januari di mana ia menjangkakan untuk menjual 607,000 unit kenderaan tahun ini. Namun ramalan itu disemak semula kepada 400,000 pada Mei.

Presiden MAA Aishah Ahmad hari ini bagaimanapun berkata jangkaan itu disemak semula kepada 470,000 unit susulan pakej rangsangan Penjana.

Beliau berkata jangkaan MAA itu realistik walaupun tidak positif.

Walaupun jualan pada masa ini perlahan untuk separuh pertama tahun ini, jualan dijangka mulai pulih pada separuh kedua.

“Kerajaan mengecualikan 100% dan 50% cukai jualan, dan kami sangat bersyukur dengan langkah itu,” kata Aishah.

“Tanpa pengecualian itu, orang ramai tidak akan datang ke bilik pameran pun, tetapi kini kita dapat lihat pelanggan mulai datang, minta untuk pandu uji kenderaan dan sebagainya.”

MAA meramalkan sentimen pelanggan agak lemah kerana persekitaran ekonomi yang tidak tentu, bimbang tentang potongan gaji dan pemberhentian kerja, berbelanja dengan berhemah, ringgit yang lemah dan syarat pinjaman ketat.

Tahun lalu, 66,674 kenderaan dijual. – 24 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen