JUMLAH jualan kenderaan di Malaysia merosot 41.1% kepada 174,675 unit pada separuh pertama tahun 2020 berbanding 296,317 bagi tempoh sama pada tahun lalu, kata Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA) Aishah Ahmad hari ini.
Kemerosotan katanya susulan pandemik Covid-19 serta penguatkuasaaan perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi membendung jangkitan.
“Pandemik Covid-19 dan sekatan yang dikenakan terhadap kebanyakan aktiviti sosial dan perniagaan menyebabkan jualan kenderaan bermotor baharu teruk terjejas,” kata Aishah pada sidang media hari ini.
“Kecuali bagi Februari dan Jun, trend jualan tahun ke tahun (menyusut secara konsisten bagi separuh pertama 2020, berbanding tempoh yang sama pada 2019.”
Secara kesleuruhan kenderaan penumpang menyumbang sebahagian besar jualan iaitu 91%.
Bagaimanapun, jualan tahun ke tahun kenderaan penumpang juga susut 41.3% kepada 158,876 unit berbanding 270,861 unit bagi tempoh sama tahun lalu.
Sementara kenderaan komersial pula merosot 37.8% iaitu dari 25,456 unit kepada 15,799 unit.
Semua sub-segmen di dalam kenderaan penumpang dan kenderaan komersial mencatat penurunan jualan.
Jumlah pengeluaran kenderaan turun 41.7% kepada 166,049 unit berbanding 284,640 unit bagi tempoh sama tahun lalu disebabkan kilang pemasangan tidak beroperasi mulai pertengahan Mac hingga pertengahan Mei akibat PKP. – 24 Julai, 2020.
Komen