Trump batal konvensyen Republikan di Florida


Pada sidang media di White House semalam Presiden AS Donald Trump berkata konvensyen penamaan Republikan di Jacksonville, Florida bulan depan batal. – Gambar EPA, 24 Julai, 2020.

PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Donald Trump semalam umum konvensyen penamaan Republikan di Jacksonville, Florida bulan depan batal, ekoran penularan Covid-19.

Pada sidang media di White House semalam Trump berkata sekarang bukan masa sesuai untuk mengadakan perhimpunan ramai dan sesak.

“Ini bukan masa yang sesuai, memandangkan apa yang berlaku baru-baru ini,” katanya sambil menambah acara konvensyen sebaliknya akan diadakan secara dalam talian.

Menurut Trump perwakilan Republikan yang akan menamakannya sebagai lawan calon Demokrat Joe Biden pada pilihan raya November ini akan berkumpul di North Carolina untuk mesyuarat pendek.

Beliau menegaskan pembatalan konvensyen di Jacksonville itu atas sebab keselamatan.

Konvensyen tersebut dijadualkan berlangsung dari 24 hingga 27 Ogos.

Kes jangkitan Covid-19 naik mendadak di Florida baru-baru ini. Sehingga kini jumlah kes Covid-19 di AS mencecah empat juta. – AFP, 24 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen