CUBAAN Umno untuk memperlekeh dan memburukkan imej Pakatan Harapan (PH) dan pemimpin DAP “tidak begitu berkesan”, kata kartunis terkenal, Zunar.
Zunar atau nama sebenarnya, Zulkiflee Anwar Ulhaque berkata kartun hanya akan memberi kesan jika ia menyentuh isu semasa yang dihadapi rakyat.
“Mereka tak peduli bagaimana rupa Lim Guan Eng dalam kartun, atau bagaimana dia dikecam. Apa yang penting, kartun perlulah untuk rakyat, menumpukan masalah rakyat.
“Inilah sebabnya Umno hanya menunjukkan kartun tersebut kepada ahlinya sahaja. Mereka tak berani tunjuk kepada orang awam,” katanya pada sidang media di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang di Komtar hari ini.
Guan Eng yang juga merupakan setiausaha agung DAP dan timbalan presiden PH adalah salah seorang daripada pemimpin PH yang dikecam pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) ke-71 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang sedang berlangsung.
Pameran yang diadakan Biro Perhubungan Umno pada persidangan itu memaparkan 20 imej anti DAP serta pelbagai lakaran mengejek pemimpin tertinggi PH termasuklah Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad, Presiden Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Presiden Mohamed Sabu, dan Ketua Pembangkang Parlimen Lim Kit Siang. Beberapa lakaran juga menggambarkan DAP sebagai anti Islam.
Zunar menambah yang kartunis sepatutnya mempunyai etika kerjaya untuk menghalang mereka daripada menghasilkan hasil karya yang boleh mewujudkan ketegangan kaum dan agama.
Katanya, walaupun mereka adalah karyawan, mereka tidak berhak menghasilkan kartun yang boleh menimbulkan ketegangan antara rakyat pelbagai kaum dan agama.
“Malah di Eropah, tempat karyawan menikmati lebih kebebasan dan keterbukaan, kartun radikal juga tidak dibenarkan,” katanya memetik cubaan untuk mengharamkan komik terkenal “Tintin in the Congo” kerana mengandungi prejudis perkauman.
Zunar juga mempersoalkan mengapa Umno diberikan kebebasan mengadakan pameran memaparkan karikatur dan foto ubah suai pemimpin PH, sedangkan dia sendiri banyak kali berdepan pendakwaan undang-undang dan tindakan polis kerana melakukan perkara sama.
Katanya ramai individu lain seperti pemimpin PKR Tian Chua dan R.Sivarasa juga berdepan tindakan undang-undang kerana mengubah suai foto.
Pada 2007, Chua ditahan polis kerana gambar ubah suai Perdana Menteri Najib Razak yang sedang makan malam bersama-sama penganalisis politik Abdul Razak Baginda dan penterjemah warga Mongolia yang mati dibunuh, Altantuya Shaariibuu.
Tahun lepas pula, Sivarasa didakwa di mahkamah kerana berkongsi kulit depan palsu majalah TIME menerusi akaun Facebooknya. Kulit depan palsu itu memaparkan gambar Najib dan kata-kata “no.2 dalam senarai terkorup.”
“Saya mahu tanya mengapa bila orang lain buat benda sama, mereka ditahan,” kata Zunar.
Kartun Zunar yang seringkali menumpukan isu semasa negara seperti skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta mengkritik kerajaan pemerintah Barisan Nasional (BN) termasuklah Perdana Menteri Najib Razak menyebabkan dia ditahan lima kali.
Enam undang-undang digunakan untuk mendakwanya termasuklah Akta Hasutan. Dia masih mempunyai sembilan dakwaan dalam bicara. Kanun Keseksaan, Akta Penerbitan dan Percetakan, serta Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia juga digunakan untuk mendakwanya. Malah, dia juga dilarang pergi ke luar negara.
“Mengapa kita ada sikap pilih kasih ini? Adakah ada dua undang-undang berbeza? Satu untuk Umno, satu untuk orang lain?” tanyanya.
Zunar juga membela artis lain dan kebebasan mereka menyuarakan pendapat menyentuh isu rakyat selepas penyanyi terkenal Sheila Majis dikecam hebat penyokong Umno kerana statusnya berkaitan peningkatan kos sara hidup di Twitter.
Katanya, adalah salah melabelkan artis sebagai pro pembangkang hanya kerana mereka menyuarakan pandangan mengenai masalah negara.
“Mereka hanya bercakap untuk rakyat. Setiap rakyat ada hak menyuarakan pandangan mereka, dan artis juga ada tugas bersuara untuk rakyat,” katanya.
Sheila yang mempunyai 214,000 pengikut di Twitter semalam menulis:
Food is expensive, ringgit is weak,cost of living is high & jobs are scarce.Msians are becoming tired & angry for being squeezed over debts we did not create.Stop making excuses & looking for faults.Focus on the job of getting our country back on track! Disappointing!!
— Sheila Majid (@SheilaMajid) December 5, 2017
Statusnya itu menarik perhatian setiausaha Najib, Rizal Mansor yang mengatakan artis tidak sepatutnya menjadi alat pembangkang.
Zunar berkata dia berharap artis lain yang lantang bersuara seperti Sheila, Fathia Latiff, Aznil Nawawi dan Siti Nurhaliza tidak dihukum atau disenarai hitam.
“Ada budaya yang apabila awak kata sesuatu yang kerajaan tak suka, kontrak awak akan dibatalkan. Awak tak ada peluang untuk muncul atau buat persembahan di saluran kerajaan seperti RTM atau TV3.
“Hormati hak mereka untuk bercakap. Mereka hanya bercakap soal kehidupan dan beban yang dihadapi rakyat biasa,” katanya. – 6 Disember, 2017.
Komen