ALLAH telah beri petunjuk Kelantan akan jatuh ke tangan Umno dalam pilihan raya umum depan, kata Perwakilan Pemuda Umno Kelantan Sheikh Razali Sheikh Hamad.
Beliau berkata, kecelaruan yang berlaku antara PAS dan pakatan pembangkang adalah petanda jelas Allah akan membantu Umno mengambil alih Kelantan.
“Ia seperti apa yang Ketua Umno Kelantan Mustapa Mohamed kata, Kelantan akan jatuh di tangan Umno dalam pilihan raya ke-14.
“Kecelaruan PAS dan rakan pembangkangnya merupakan isyarat daripada Allah,” kata Razali dalam ucapannya semasa persidangan sayap Pemuda Umno hari ini.
Tambahnya, dalam pilihan raya umum 2008, Umno menang enam daripada 45 kerusi di Kelantan, dan pada pilihan raya umum 2013, Umno memperoleh 12 kerusi Dewan Undangan Negeri.
Justeru, berdasarkan rekod terdahulu, Razali berkata, Umno mempunyai peluang cerah untuk mengambil alih Kelantan.
Sejak 1990, Kelantan ditadbir PAS. Sejak itu Kelantan dikenali dengan nama jolokan Serambi Mekah.
Dalam pada itu, Razali menuntut pemuda Umno diberikan jawatan dalam semua agensi dan badan kerajaan sebagai salah satu alternatif untuk mendekati pengundi.
Tambahnya, kordinator tersebut akan berperanan sebagai mata dan telinga, bukan sahaja buat parti bahkan kepada kerajaan.
Razali berkata, jawatan tersebut telah diwujudkan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan namun mahu ia diperluaskan kesemua agensi berkaitan. – 6 Disember, 2017.
Komen