Pelantikan Azhar, Azalina dicabar di mahkamah


Diyana Ibrahim

Dr Mahathir Mohamad bersama empat lagi ahli Parlimen Bebas mencabar pelantikan Azhar Azizan dan Azalina Othman sebagai speaker dan timbalan speaker di mahkamah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Julai, 2020.

DR MAHATHIR Mohamad bersama empat lagi ahli Parlimen Bebas mencabar pelantikan Azhar Azizan Harun dan Azalina Othman Said sebagai speaker dan timbalan speaker di mahkamah.

Mereka memfailkan saman pemula bagi meminta perintah bahawa pelantikan ke dua jawatan tersebut tidak sah dan bercanggah dengan Perlembagaan.

Selain itu, mereka memohon ketetapan mahkamah supaya memutuskan dua kerusi tersebut masih kosong.

Saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur juga untuk mendapatkan perintah bahawa ahli Parlimen perlu diberi peluang menamakan calon pilihan masing-masing bagi jawatan tersebut.

Empat lagi yang turut memfailkan saman itu adalah Mukhriz Mahathir (Jerlun), Maszlee Malik (Simpang Renggam) Amiruddin Hassan (Kubang Pasu) dan Shahruddin Md Salleh (Sri Gading).

Saman itu difailkan melalui firma Law Practice of Rafique.

Firma guaman tersebut dalam kenyataannya menyebut, saman pemula difailkan kerana plaintif berpegang teguh kepada doktrin pengasingan kuasa.

Sementara itu, Timbalan Speaker Rashid Hasnon dalam kenyataan berasing berkata Parlimen masih belum menerima notis saman pemula itu tetapi sudahpun maklim dengan tindakan itu.

“Mengikut hemat saya, Tun bersama empat rakan lain boleh berbuat apa yang dinginkan dalam amalan demokrasi asalkan mengikut undang-undang yang termaktub.

“Saya tidak menerima notis tersebut dan terserah kepada proses undang-undang untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Ariff pada 28 Jun lalu menerima usul mencadangkan pengugurannya sebagai speaker.

Beliau juga menerima satu usul lain mencadangkan pembatalan khidmat timbalannya, Nga Kor Ming.

PN mencadangkan bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Azhar Azizan Harun sebagai speaker pilihan pentadbiran baharu.

Dalam sesi pengundian sengit, 111 ahli Parlimen menyokong dan 109 pula membantah usul untuk mengugurkan Ariff dan Nga.

Azhar dan Azalina seterusnya dilantik ke jawatan tersebut selepas pengosongan jawatan Mohamad Ariff. – 23 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen