Turunkan sewa tanah TOL Cameron Highlands, kata pembangkang


Diyana Ibrahim

Kenaikan kadar sewa tanah pajakan di Cameron Highlands sehingga lima kali ganda didakwa akan menyebabkan harga sayur meningkat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Julai, 2020.

PEMBANGKANG menuntut kerajaan menurunkan semula kadar sewa di tanah pajakan di Cameron Highlands untuk mengelakkan kenaikan harga sayur.

Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin berkata kenaikan sehingga lima kali ganda itu akan membebankan pengguna dan memberi kesan kepada bekalan makanan dalam negara.

Beliau berkata demikian dengan merujuk kenaikan kepada RM4,500 seekar setahun dari kadar RM900 yang dikenakan kepada pengusaha di tanah lesen pendudukan sementara (TOL).

Menteri timbalan menteri hal ehwal tani itu berkata ia akan menyebabkan pekebun menaikkan harga sayur kepada pengguna bagi menampung kos kenaikan.

“Apabila kos dinaikkan kerana (kenaikan) sewa, pekebun terpaksa menaikkan harga sayur juga dan beban ini akan diberikan kepada pengguna.

“Adakah rakyat Malaysia bersedia dengan kenaikan harga sayur,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen.

Kenaikan itu dibuat sewaktu kerajaan negeri Pahang berusaha mengawal penerokaan tanah bukit untuk tujuan pertanian di Cameron Highlands.

Kerajaan negeri antara lain mengusir petani yang didapati melakukan kesalahan dengan beroperasi di tanah berhampiran tadahan air.

Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail pada Januari lepas berkata pekebun di tanah berstatus LPS ditawarkan meneruskan operasi mereka menerusi sewaan berdaftar.

Antara syarat yang dikenakan kepada pekebun bagi membolehkan mereka mendapatkan lesen tersebut ialah memohon persijlan Amalan Pertanian Baik MyGap.

Beliau juga menolak permohonan sekumpulan petani untuk terus beroperasi di tanah itu.

Mengulas mengenai syarat Mygap, Sim mendakwa pekebun juga perlu membayar sebanyak RM2,000 bagi mendapatkan sijil tersebut.

Perkara itu amat menghairankan kerana pensijilan tersebut dikeluarkan secara percuma ketika beliau menjadi timbalan menteri di kementerian terbabit, dakwanya.

Dalam sidang media sama, Ketua Parlimen DAP Anthony Loke berkata seramai 2,0141 pekebun kecil terjejas dengan kenaikan harga sewa itu.

Ahli Parlimen Seremban itu berkata kerajaan negeri tidak boleh menekan golongan itu kerana mereka bukan dari syarikat besar yang memiliki tanah yang besar.

“Mereka pekebun hanya menyewa 2 hingga 3 ekar, maksimum 5 ekar saja. Ini tidak termasuk kos baja racun, pekerja itu pun kita kena kira juga.

“Kita tidak boleh cakap pekebun dapat pulangan lumayan kerana tanah mereka bukan luas,” katanya.

Turut hadir dalam sidang media itu Adun Tanah Rata Chiong Yoke Kong yang mewakili pekebun kecil untuk menyerahkan memorandum kepada Loke.

Beliau berkata usaha untuk mendapatkan penjelasan daripada menteri besar sudah dibuat namun mereka tidak dilayan.

Beliau juga sebelum ini menyiarkan video di Facebook menggesa kerajaan membenarkan pengusaha untuk terus beroperasi di kawasan Sungai Ichat. – 23 Julai, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen