AGENSI anti rasuah sudah melengkapkan laporan berkenaan rakaman audio yang terbocor dikatakan suara mirip Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bercakap tentang “memikat” ahli Parlimen untuk menubuhkan kerajaan dengan menawarkan jawatan kepada mereka.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki dilaporkan berkata laporan itu sudah dihantar ke Pejabat Peguam Negara.
SPRM sedang menunggu arahan selanjutnya, lapor Malaysiakini memetik Azam sebagai berkata.
Azam ketika ditanya adakah Muhyiddin akan dipanggil untuk soal siasat, berkata: “Itu bergantung pada arahan dari peguam negara. Kami telah menjalankan siasatan.”
Beliau berkata bagi penyiasatan itu, perkara pertama yang harus diperhatikan adalah keaslian rakaman, dan sama ada dakwaan dikatakan sebagai suatu kesalahan atau tidak.
Klip audio itu yang bocor pada 30 Mei mengandungi suara mirip Muhyiddin bercakap pada mesyuarat majlis pimpinan tertinggi Bersatu pada 23 Februari, sebelum kerajaan Pakatan Harapan runtuh.
Dalam rakaman audio yang tersebar di media sosial itu, Muhyiddin didakwa merancang untuk menawarkan jawatan dalam kabinet dan GLC kepada pemimpin Umno.
Muhyiddin tidak membuat sebarang kenyataan berhubung klip audio itu.
Pada Selasa, perdana menteri ditanya oleh Ahli Parlimen Gelugor Ramkarpal Singh untuk menyatakan di Dewan Rakyat, sama ada beliau adalah orang dalam klip audio itu, atau bukan.
Muhyiddin tidak hadir di Dewan pada masa itu.
Ramkarpal, yang cuba memperdengarkan klip audio itu dihalang oleh Timbalan Speaker Dewan Rakyat Azalina Othman Said. – 23 Julai, 2020.
Komen