PENGGUBALAN Rang Undang-Undang (RUU) Pelaksanaan Langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Covid-19 akan mewujudkan peluang bagi proses pemulihan kalangan individu serta syarikat yang terkesan akibatnya, sekali gus merangsang ekonomi negara untuk jangka panjang.
Sehubungan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hassan berharap semua pihak dapat memberi sokongan bagi memastikan matlamat penggubalan RUU tersebut tercapai serta diterima baik oleh semua lapisan masyarakat.
“Ini komitmen kerajaan untuk mengurangkan impak perundangan Covid-19 dengan harapan kelangsungan hidup rakyat Malaysia umumnya dapat diteruskan,” katanya dalam jawapan bertulis pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Mukhriz Mahathir (Bebas-Jerlun) yang bertanyakan sama ada kerajaan bercadang memperkenalkan akta bagi melindungi syarikat atau individu yang gagal memenuhi terma-terma perjanjian atau kontrak berikutan perniagaan mereka terjejas akibat pandemik Covid-19.
Menurut Takiyuddin, kerajaan pada 20 Mei lepas bersetuju supaya Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara menyelaras proses penggubalan RUU ini dengan kementerian, jabatan dan agensi berkaitan.
RUU itu merupakan pelepasan sementara daripada tanggungjawab perjanjian bagi suatu tempoh yang ditetapkan dan penggubalannya melibatkan modifikasi kepada peruntukan tertentu di bawah akta-akta berkaitan.
Beliau berkata RUU berkenaan juga mengandungi peruntukan melindungi pihak berkontrak (syarikat/individu) yang gagal memenuhi obligasi kontrak dalam prescribed period yang ditetapkan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)/Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)/Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) disebabkan pandemik Covid-19.
“RUU ini turut memperuntukkan kuasa kepada menteri untuk menentukan platform mediasi bagi pihak-pihak berkontrak yang terkesan menyelesaikan pertikaian mereka secara baik,” jelasnya.
Pada awal hari ini, Takiyuddin berkata RUU berkenaan dijangka dapat dikuatkuasakan selewat-lewatnya September depan.
Menurutnya, proses penggubalan RUU itu di peringkat akhir dan akan dibawa ke Kabinet pada Julai sebelum dibentangkan di Parlimen pada bulan sama. – Bernama, 23 Julai, 2020.
Komen