Timbalan menteri PAS sengaja bangkit isu rasis, kata Mujahid


Diyana Ibrahim Chan Kok Leong

Bekas menteri Mujahid Yusof berkata jualan aset Tabung Haji sengaja dibangkitkan timbalan menteri PAS sebagai isu politik dan perkauman. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Julai, 2020.

JUALAN aset Tabung Haji sengaja dibangkitkan timbalan menteri PAS sebagai isu politik dan perkauman, kata bekas menteri yang bertanggungjawab ke atas lembaga itu, Mujahid Yusof.

Walhal, kerajaan PN juga mengambil tindakan sama dengan menjual aset Tabung Haji selepas mengambil alih kerajaan, kata bekas menteri hal ehwal agama itu.

Beliau berkata demikian dengan merujuk kenyataan timbalan menteri PAS Ahmad Marzuk Shaary yang menyalahkan PH kerana menjual aset Tabung Haji Plantation (THP).

Lebih memeranjatkan adalah tindakan Marzuk mengaitkan isu perkauman dengan jualan aset tersebut, kata Mujahid.

“Hakikatnya kedudukan kewangan THP sudah kritikal dan dibebani hutang sejak 2015,” katanya yang menjelaskan jualan dua anak syarikat tersebut semasa beliau menjadi menteri.

Katanya kerajaan terpaksa menjual TH Bakti Sdn Bhd sebanyak RM16.3 juta dan THP Gemas Sdn Bhd sebanyak RM154.1 juta.

“Jadi kenapa bila pelaksanaan rasionalisasi untuk selamatkan THP pada 2018 dan 2019 dengan menjual aset atas keperluan sama jadi isu politik,” katanya.

Jelasnya, Marzuk membuat kenyataan dengan sentimen rasis apabila mengaitkan keturunan ahli lembaga syarikat Tamaco Plantations Sdn Bhd yang akan membeli dua lagi anak syarikat TH.

Ia berkaitan jawapan Marzuk di Parlimen semalam untuk menyemak semula rancangan Mujahid untuk menjual Bumi Suria Ventures Sdn Bhd and Maju Warisan Sdn Bhd.

Dalam jawapan tambahan di Dewan Rakyat, Marzuk menyenaraikan kesemua lima orang pengarah syarikat Tamaco Plantations yang ditegaskannya sebagai bukan bumiputera.

“Untuk makluman ahli Yang Berhormat juga, syarikat Tamaco Plantations Sdn Bhd ini dimiliki oleh bukan bumiputera dan diterajui oleh ahli lembaga pengarah seperti berikut ...”

Mengulas jawapan itu, Mujahid berkata Marzuk bersikap rasis apabila membangkitkan keturunan kesemua pengarah Tamaco Plantation.

Jualan membabitkan aset ladang seluas 6,514 hektar itu menurut Marzuk boleh disemak semula kerana harga jualan yang dicadangkan lebih rendah daripada penilaian yang dibuat.

Katanya penilaian oleh firma C H Williams pada Disember 2018 menyebut syarikat tersebut benilai RM280 juta.

Penilaian kerajaan pada April 2020 meletakkan harganya pada kadar RM224 juta dan penilaian semula atas permintaan TH Plantations menurunkan lagi nilainya kepada RM198 juta, katanya. – 22 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen