SPRM keluarkan senarai isytihar harta baharu


Setakat ini, 27 menteri dan 30 timbalan menteri sudah mengisytiharkan harta mereka kepada SPRM. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Julai, 2020.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah mengeluarkan senarai perisytiharaan harta 57 daripada 70 menteri dan timbalan menteri pentadbiran Perikatan Nasional.

Setakat ini, 27 menteri dan 30 timbalan menteri sudah mengisytiharkan harta mereka kepada agensi pencegahan rasuah negara itu.

Terdapat lima lagi menteri yang belum mengisytiharkan harta mereka, umum Perdana Menteri Muhyiddin Yassin di Dewan Rakyat, minggu lepas.

Mereka ialah Menteri Kesihatan Dr Adham Baba, Menteri Sumber Manusia M Saravanan, Menteri Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi, Menteri Tenaga dan Sumber Asli Shamsul Annuar Nasarah dan Menteri Pertanian, Industri dan Komoditi Khairuddin Aman Razali.

Manakala, bagi timbalan menteri, sembilan orang masih belum isytihar harta.

Mereka ialah Shabudin Yahaya (Parlimen dan Undang-Undang), Ikmal Hisham Abdul Aziz (Pertahanan), Ismail Mohamed Said (Dalam Negeri), Ahmad Masrizal Muhammad (Alam Sekitar dan Air), Ismail Muttalib (Perumahan dan Kerajaan Tempatan), Abdul Rahman Mohamad ( Pembangunan Luar Bandar), Ti Lian Ker (Perpaduan Nasional), Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal (Belia dan Sukan) serta Zahidi Zainul Abidin (Komunikasi dan Multimedia).

Shahruddin Salleh yang sudah meletak jawatan sebagai timbalan menteri kerja raya juga berada dalam senarai.

Senarai penuh boleh diakses orang awam di https://mydeclaration.sprm.gov.my.

Laman itu diwujudkan pada 2018 apabila kerajaan ketika itu, Pakatan Harapan, mewajinkan perisytiharaan harta dibuat oleh semua menteri, timbalan menteri, setiausaha politik dan wakil rakyat kerajaan.

Tetapi, di bawah kerajaan PN, ahli Parlimen tidak diperlukan mengisytiharkan harta mereka kepada SPRM walaupun ramai antara mereka kini menerajui syarikat berkaitan kerajaan (GLC). – 22 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen