16 kes baharu Covid-19, sebahagian besar jangkitan di Sarawak


Ragananthini Vethasalam

Daripada lapan kes jangkitan tempatan, tujuh kes melibatkan rakyat Malaysia dan semua kes ini dikesan di Sarawak. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 22 Julai, 2020.

MALAYSIA melaporkan 16 kes baharu Covid-19 hari ini di mana separuh daripadanya melibatkan jangkitan tempatan dengan majoriti kes di Sarawak, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Kes baharu meningkat menjadikan jumlah jangkitan nasional sebanyak 8,831.

Daripada lapan kes jangkitan tempatan, tujuh kes melibatkan rakyat Malaysia dan semua kes ini dikesan di Sarawak.

Tiga kes dikaitkan dengan kluster Stutong sementara kluster Sentosa dan PUI Melbourne masing-masing satu jangkitan baharu.

Kluster Melbourne juga merupakan kluster baharu melibatkan pelajar Malaysia yang pulang dari Australia pada 15 Julai, kata Dr Noor Hisham dalam satu kenyataan.

Jangkitan tempatan keenam melibatkan ahli keluarga pesakit Covid-19 sementara yang ketujuh adalah seorang pekerja sekolah yang dikesan dalam pemeriksaan sebelum kembali bekerja.

Jangkitan tempatan kelapan melibatkan warga asing yang dikesan ketika menjalani pemeriksaan sebelum ke luar negara. Kes ini sudah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh. 

Lapan kes import baharu melibatkan empat rakyat Malaysia dan empat warga asing yang mempunyai taraf penduduk tetap di sini atau dibenarkan masuk untuk tujuan kerja.

Lapan kes diimport ini dari India, Rusia, Arab Saudi, China, Indonesia dan Korea.

Kes baharu menunjukkan jumlah jangkitan Covid-19 aktif yang dirawat adalah 142.

Sementara itu, empat orang telah pulih dan keluar dari hospital setakat tengah hari ini.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan pesakit pulih seramai 8,566.

Tidak ada kematian yang dilaporkan, menjadikan angka kematian adalah 123 orang.

Lima pesakit kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan hanya seorang yang memerlukan alat bantuan pernafasan. – 22 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen