Guan Eng ke SPRM untuk kes projek terowong Pulau Pinang


Kalidevi Mogan Kumarappa

Bekas menteri kewangan Lim Guan Eng hadir untuk memberi keterangan di ibu pejabat agensi itu di Putrajaya pada jam 12 tengah hari, kata sumber.– Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Julai, 2020.

BEKAS menteri kewangan Lim Guan Eng tampil ke pejabat agensi antirasuah dipercayai untuk siasatan berhubung dakwaan rasuah dalam projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Ahmad Khusairi Yahaya berkata Lim dijangka hadir untuk siasatan petang ini.

“SPRM menyiasat kes terowong itu selepas mendapat bukti baharu,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Bekas ketua menteri Pulau Pinang itu disiasat selepas SPRM mengambil keterangan penggantinya, Chow Kon Yeow pada awal bulan ini.

Tiga anggota exco kerajaan Pulau Pinang juga disiasat berkaitan dengan projek pembinaan terowong RM6.3 bilion itu.

Tiga yang terlibat adalah Jagdeep Singh Deo (kerajaan tempatan), Chong Eng (pembangunan wanita dan keluarga) dan Phee Boon Poh (kebajikan dan masyarakat).

Pada akhir Jun, Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang Jeffrey Chew Gim Eam ditahan reman selama empat hari.

Pada masa sama, SPRM mengambil keterangan seorang lagi exco, Lim Hock Seng (kerja raya, utiliti dan pengangkutan) dan bekas exco Abdul Malik Abul Kassim (hal ehwal agama Islam).

Tindakan itu diambil selepas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki mengumumkan kertas siasatan projek pembinaan itu dalam fasa akhir.

Dakwaan kes rasuah itu dibangkitkan pengendali blog Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin, dalam siri artikel tahun lalu.

Dakwanya, kertas siasatan SPRM menunjukkan menteri kewangan ketika itu, Lim Guan Eng, dan empat exco kerajaan Pulau Pinang terbabit rasuah berhubung projek tersebut.

Mengulas dakwaan tersebut, Guan Eng pada masa itu menegaskan tuduhan tersebut satu penipuan dan mengarut.

Tegasnya, projek terowong dasar laut berkenaan dibuat menerusi proses tender terbuka dan tidak mungkin wujud unsur rasuah dalam pelaksanaannya.

SPRM dalam kenyataan pada Mac tahun lalu mengesahkan membuka enam kertas siasatan berkaitan projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Dalam kenyataan itu, SPRM memaklumkan, kertas siasatan pertama dibuka pada Julai 2017, manakala lima lagi dibuka pada Januari 2018.

Lima kertas siasatan sudah selesai dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya, tiga dikembalikan untuk siasatan lanjut dan dua lagi masih dalam kajian, menurut SPRM. – 22 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen