RAKAMAN audio didakwa berkaitan dengan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tidak boleh diperdengarkan di Parlimen kerana tidak memenuhi syarat keterangan yang boleh diterima, kata Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun.
Ketika mempertahankan keputusan Timbalan Speaker Azalina Othman Said untuk menghalang rakaman audio daripada diperdengarkan di Dewan Rakyat, Azhar mengatakan beliau mungkin berasa audio itu tidak asli dan tidak memenuhi syarat keterangan yang boleh diterima.
“Lebih-lebih lagi, ada dalam Peraturan Mesyuarat yang mengatakan anggota Parlimen tidak boleh membangkitkan isu yang dibawa di media untuk mengetahui kebenaran artikel tersebut.”
Beliau berkata isu yang dibangkitkan di Parlimen mesti berdasarkan fakta dan bukannya spekulasi.
Azhar memberi respons terhadap RSN Rayer (Jelutong-PH) mengapa Ramkarpal Singh (Bukit Gelugor-PH) dihentikan daripada memainkan rakaman audio yang didakwa sebagai Muhyiddin, semasa berucap di Dewan Rakyat pada Selasa.
Ramkarpal berkata beliau ingin memainkan rakaman tersebut untuk bertanya kepada Muhyiddin apakah beliau individu dalam rakaman itu ketika perdana menteri menawarkan jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan kepada ahli Parlimen Umno.
Walaupun, berita ini muncul pada hujung Mei, Muhyiddin atau Pejabat Perdana Menteri tidak mengesahkan atau menafikannya. Muhyiddin juga tidak mengadakan sidang media sejak 11 Mac.
“Kami juga belum mendengar rakaman dan ingin mendengarnya. Selain itu, ada duluan yang dilakukan oleh Karpal Singh (bekas ahli Parlimen Bukit Gelugor),” kata Rayer hari ini.
Pada 2007, mendiang Karpal memainkan rakaman audio mengenai tuduhan rasuah dalam badan kehakiman.
Tetapi Azhar mempertahankan keputusan Azalina dan berkata beliau tidak akan mengulanginya.
“Saya menyaksikan prosiding semalam dan mendapati Azalina telah membuat keputusannya. Saya tidak boleh menyemak kembali keputusannya kerana tidak wajar membuat keputusan lain. Ia muktamad,” kata Azhar.
Azhar dan Azalina dilantik pada 13 Julai selepas Perikatan Nasional menyingkirkan bekas speaker Mohamed Ariff Md Yusof sementara bekas timbalan speaker Nga Kor Ming juga mengumumkan peletakan jawatannya pada hari yang sama. – 22 Julai, 2020.
Komen